COVID:1,354 kes baharu, empat kematian dicatat hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR 14 Mac. – Malaysia merekodkan 1,354 kes baharu COVID-19, menurun sedikit berbanding semalam (1,470) selain empat kematian dalam tempoh 24 jam lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, 1,782 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada COVID-19 di negara ini sebanyak 306,274, sementara angka keseluruhan kematian kini berjumlah 1,210 kes.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini, 1,340 merupakan kes tempatan melibatkan 1,042 warga tempatan dan 298 bukan warganegara sementara 14 lagi adalah kes import,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Twitter rasmi beliau.

KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Gambar fail

Dr Noor Hisham berkata Selangor melaporkan kes harian baharu paling tinggi dengan 577 kes, diikuti Sarawak (178 kes) dan Pulau Pinang (154 kes).

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 158 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 71 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata kesemua kes kematian hari ini melibatkan lelaki warga tempatan dalam lingkungan umur 27 hingga 87 tahun dengan masing-masing menghidap penyakit kronik.

Beliau berkata terdapat tiga kluster baharu dikenal pasti dalam tempoh 24 jam lalu melibatkan dua kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti

“Kluster tempat kerja melibatkan Jalan Tun Mutalib Tiga di Johor dan Kluster Jalan Sutera di Selangor, manakala kluster komuniti pula dikesan di Sarawak iaitu Kluster Begalak,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kluster yang aktif setakat ini ialah sebanyak 424 dengan 64 daripadanya mencatatkan pertambahan kes hari ini.

Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini ialah Kluster Tembok Tapah dengan 57 kes, Kluster Jalan Kebun Nenas (30 kes), dan Kluster Rawang Bestari (28 kes).

Jumlah kluster yang telah tamat pula ialah 813 kluster termasuk lima yang tamat hari ini, katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

272
Kongsi :
Previous post PKBM adakan program praperlumbaan sebagai persediaan Olimpik Tokyo
Next post 289 individu dikompaun RM10,000
Ubah saiz-+=