Pelaksanaan undi 18 tanggungjawab SPR sepenuhnya

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

ALOR SETAR 14 Mac. – Sebarang perkembangan mengenai Undi 18 perlu datang daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelaksanaan dasar itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata ini kerana perkara itu yang melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan oleh Parlimen.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan. Gambar fail

“Kerajaan dahulu telahpun membuat pindaan (terhadap) Artikel 47 dan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan dan bila telah dipinda perkara itu terpaksa diambil tindakan oleh SPR.

“SPR bukan urusan kerajaan walaupun ia adalah jabatan kerajaan, tetapi ia adalah suruhanjaya bebas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin, di sini hari ini.

Usia minimum mengundi rakyat Malaysia direndahkan kepada 18 tahun berbanding 21 sebelum ini selepas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan seterusnya oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

Sementara itu, Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa SPR mengeluarkan kenyataan tegas berhubung pelaksanaan Undi 18 tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pemimpin politik.

Presiden Parti Warisan Sabah itu turut menuntut SPR mengadakan lebih banyak libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk parti politik pembangkang dalam menjayakan Undi 18 tersebut.

“Sebarang penangguhan dalam proses ini pastinya akan menjejaskan mood anak muda untuk turut sama terlibat dalam pemulihan sistem demokrasi dalam negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

498
Kongsi :
Previous post Sindiket pinjaman tidak wujud: 17 individu ditahan
Next post PKBM adakan program praperlumbaan sebagai persediaan Olimpik Tokyo
Ubah saiz-+=