Sorting by

×

100,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura bakal terima vaksin fasa kedua

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

PONTIAN 14 Mac. – Kira-kira 100,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang-alik setiap hari dijangka menjadi antara penerima fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Beliau berkata perkara itu telah dipersetujui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang sedang membangunkan sistem pendaftaran untuk golongan berkenaan.

“Kita tahu lebih kurang 400,000 mereka yang bekerja di Singapura setiap hari, tetapi untuk peringkat awal kementerian setuju 100,000 dahulu yang akan terima vaksin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Mentor Mentee Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) bersama All Cosmos Industries di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai vaksin COVID-19 buat rakyat yang bekerja di Singapura.

Katanya langkah itu diharap dapat memulihkan serta merancakkan kembali ekonomi negeri, antaranya sektor perkhidmatan, perkilangan dan pendidikan sebaik sempadan dibuka semula.

Sementara itu, Hasni berkata kerajaan negeri komited untuk meningkatkan lagi usaha bagi menjayakan Program Jaminan Bekalan Makanan menerusi Program Mentor Mentee yang dijalinkan dengan kerjasama PPNJ dan All Cosmos Industries.

“Menerusi program ini, All Cosmos Industries akan bimbing dan melahirkan lebih ramai usahawan tani dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM400,000 dalam bentuk input dan kaedah bagi bantu petani.

“Usaha ini amat digalakkan kerana Johor berpotensi menjadi pengeluar makanan khususnya pengeluar buah-buahan terbesar negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post TAPAW sasar 5,000 pendaftaran di Melaka
Next post Paras empangan seluruh negara masih baik- Tuan Ibrahim
Ubah saiz-+=