TAPAW sasar 5,000 pendaftaran di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

DUYONG 14 Mac. – Perkhidmatan penghantaran barang, makanan dan logistik yang disediakan Tapaw Group Sdn Bhd (Tapaw.com) mampu membuka peluang pemasaran buat peniaga kecil yang beroperasi di rumah mahupun di bahu jalan bagi menjana pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tapaw.com, Datuk Anuar A. Rahman berkata, perkhidmatan yang disediakan menerusi aplikasi itu mampu membantu peniaga mendapatkan penghantaran barangan perniagaan buat pelanggan di negeri ini.

ANUAR…Tapaw.com sasar 5,000 daftar aplikasi itu di Melaka.

Menurutnya, perkhidmatan yang disediakan pihaknya itu menawarkan penghantaran pelbagai jenis perniagaan dengan pelbagai mod pengangkutan disediakan.

“Perkara ini mampu membuka peluang pekerjaan kepada semua pihak khususnya golongan belia bagi mendapatkan pendapatan tambahan.

“Kita juga memberi peluang buat mana mana pihak bagi membantu perusahaan kecil sederhana (PKS) untuk diketengahkan dalam penggunaan perkhidmatan ini.

“Setakat ini kita telah mempunyai 100,000 kenderaan penghantaran di seluruh negara dan kini kita menyasarkan sebanyak 5,000 pendaftaran di negeri ini bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Tapaw.com di Kompleks Japerun Duyong disempurnakan Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Ashakari Abu Noor, di sini hari ini.

ASHAKARI menyambut baik peluang yang ditawarkan perkhidmatan Tapaw.com di Melaka.

Dalam pada itu, Ashakari berkata pihaknya menyambut baik peluang yang ditawarkan perkhidmatan itu yang mampu menawarkan pekerjaan buat individu terkesan dalam tempoh pasca penularan pandemik COVID-19.

“Kita harap penggunaan perkhidmatan Tapaw ini mampu digunakan menyeluruh di Melaka.

“Setakat ini seramai 20 penunggang penghantaran telah mendaftar dan kita buka peluang ini kepada sesiapa saja bagi mendapatkan pendapatan tambahan,” katanya.

Untuk rekod Tapaw mempunyai enam segmen penghantaran antaranya barangan, makanan, bahan basah, barangan runcit dan lain-lain lagi.

Aplikasi itu boleh dimuat turun ke peranti pintar melalui platform Google Play dan AppStore.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1027
Kongsi :
Previous post ‘Masakan Bugis’ johan Pertandingan Masakan Etnik Melaka
Next post 100,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura bakal terima vaksin fasa kedua
Ubah saiz-+=