Sorting by

×

Melaka sedia benarkan solat Tarawih

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PAYA RUMPUT 14 Mac. – Kerajaan negeri bersedia membenarkan solat tarawih dilaksanakan di masjid dan surau seluruh negeri pada Ramadan tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya akan berbincang dengan lebih terperinci bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Mufti negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berhubung ibadah itu dalam masa terdekat.

Namun, beliau tidak menolak had jemaah dibenarkan untuk solat tarawih akan berpandukan kepada kapasiti sama seperti solat Jumaat di negeri ini iaitu mengikut kapasiti masjid atau surau dengan penjarakan fizikal satu meter.

“Insya-Allah…tahun lepas kita semua rindu solat Tarawih, jadi saya harap tahun ini sudah bolehlah.

“Tetapi apa-apa sekalipun semuanya bergantung kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara). Kalau dalam tempoh bulan Ramadan berlaku peningkatan kes positif COVID-19 hingga memaksa kita kembali kepada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), sudah pasti ia tidak akan dibenarkan.

“Sebab itulah saya kata kalau kita kasih dan sayang akan negeri dan negara dan kita mahukan solat Tarawih di bulan Ramadan, patuhilah SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan. Jika kita boleh kekalkan situasi yang ada sekarang, Insya-Allah boleh (solat tarawih),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Surau Jumaat Ar-Raudhah di Taman Paya Rumput Perdana, di sini ketika mengadakan lawatan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput merangkap Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Setiausaha Politik Ketua Menteri Datuk Wira Sazali Muhd Din dan Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

867
Kongsi :
Previous post JDT terus unggul di persada Liga Super
Next post Tolong bantu Makcik Bedah, Pak Mat daftar vaksin – Sulaiman
Ubah saiz-+=