Rumah baharu untuk ibu tunggal
LENDU 14 Mac. – Kesukaran ibu tunggal dan dua anaknya menjalani kehidupan di rumah yang sudah reput bakal berakhir apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berjanji membina rumah baharu untuk mereka.
Pairus Pasha, 40, dan anak perempuannya berusia 16 tahun serta anak lelaki berusia 11 tahun dijanjikan kediaman lebih selesa berbanding rumah sedia ada yang mengalami kerosakan.
Janji itu diberikan ketika Sulaiman melakukan ziarah kasih di kediaman mereka di Kampung Lendu Hulu, di sini semalam.
Sejurus tiba di kediaman itu pada jam 9.30 pagi, Sulaiman bertanya khabar dengan Pairus sebelum dimaklumkan oleh pegawai Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Lendu, rumah berkenaan dicadangkan diberikan peruntukan pembinaan semula.
Sulaiman kemudian memasuki rumah berkenaan dan tergamam melihat bumbungnya yang sudah bocor serta dinding dimakan anai-anai.
Beliau meminta pegawai kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menyediakan kediaman lebih selesa untuk keluarga terbabit.
Pairus menjelaskan tidak mampu melakukan kerja pembaikan kerana sejak berpisah dengan suami beberapa tahun lalu, dia hanya bergantung rezeki sebagai pembantu kedai makan.
Katanya, pendapatannya hanya cukup untuk menyara kehidupanya sekeluarga selain memastikan kedua-dua anaknya dapat bersekolah walaupun terpaksa melalui kesempitan kewangan.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan kesyukuran kepada Allah dan jutaan terima kasih kepada Sulaiman kerana sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya sekeluarga.
Pada sidang media selepas itu, Sulaiman berkata, beliau terharu apabila membayangkan dirinya terpaksa tinggal dalam rumah seumpama itu.
“Kerajaan negeri akan usahakan rumah baharu yang lebih selesa untuk keluarga ini,” katanya.
Sulaiman berkata, beliau bercadang menyediakan Rumah Prihatin mengikut peruntukan kerajaan negeri atau mendapatkan peruntukan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.