Norhizam berserban pada PRU-15 ?

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

Norhizam berserban pada PRU-15 ?

BATU BERENDAM 13 Mac – Selepas sekian lama berteka teki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas bagi kerusi Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee akhirnya mengakui sudah dilamar beberapa parti politik termasuk PAS untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Beliau bagaimanapun berkata, teka- teki mengenai parti mana yang akan dipilihnya hanya akan diputuskan pada Julai ini.

“Sejujurnya saya telah dilamar PAS, UMNO dan Bersatu malah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan salam buat saya.

“Jadi jangan terperanjat kalau saya berserban. Saya mahu jadi baik dan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum dan Penyerahan Lesen Sampan Khas Negeri Melaka di Empangan Sungai Batu Hampar.

NORHIZAM melepaskan benih ikan lampam ke perairan pada Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum dan Penyerahan Lesen Sampan Khas Negeri Melaka di Empangan Sungai Batu Hampar, Batu Berendam, hari ini. / Gambar: Siti Saleha

Jelas beliau, bagaimanapun dirinya masih belum membuat sebarang keputusan kerana apa yang lebih penting kini adalah berkhidmat untuk rakyat.

“Saya akan istiqamah solat malam untuk pastikan parti mana akan sertai nanti dan percaya ramai yang akan datang (nanti) bila saya umumkan.

“Insyaallah pada Julai saya akan umumkan kerana buat masa ini sebagai wakil rakyat saya kena tumpu kerja saya pada rakyat kerana yang mengundi adalah rakyat,” katanya.

Norhizam yang terkenal dengan gelaran ‘YB Viral’ dan kini bergerak sebagai wakil rakyat bebas sejak Mac lalu tidak menolak kemungkinan akan terus bergerak bebas pada PRU akan datang.

“Saya tidak perlu takut kerana hari ini rakyat pandai menilai siapakah yang boleh buat kerja serta turun padang.

“Insyaallah, kalau tidak pun mungkin Bebas, saya pun sudah ada logo sendiri ‘YB Viral’ dan bendera pun sudah tersedia apa yang penting kita turun padang untuk rakyat,” katanya.

Views:

573
Kongsi :
Previous post MUFC mesti menang malam ini! – KM
Next post Skim Sewa Untuk Milik jangka dilancar Jun ini
Ubah saiz-+=