Melaka rancang jalinan antara negeri tingkat acara kebudayaan
ALOR GAJAH 13 Mac – Kerajaan negeri Melaka akan melaksanakan jalinan dua hala yang lebih dinamik antara negeri-negeri sebagai antara langkah untuk merancakkan semula program kebudayaan di Melaka.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata ini termasuklah membawa skuad persembahan kebudayaan negeri ‘menjelajah’ ke negeri-negeri lain dan sebaliknya.
“Kami perlukan hubungan dua hala ini sebagai kaedah memastikan budaya seperti tarian tidak hilang kerana banyak program dan acara yang dirancangkan terutama tahun lepas terhenti disebabkan pandemik COVID-19 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Perancangan terdekat adalah kami akan ke Terengganu pada minggu depan dan berjumpa dgn exco pelancongan Terengganu untuk berbincang perkara ini memandangkan terdapat trend yang positif yang ramai pengunjung dari negeri tersebut yang datang ke Melaka.
“Kami juga merancang untuk buat pertukaran persembahan kebudayaan iaitu tarian pantai timur dan pantai barat,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati TNB 2020 peringkat Negeri Melaka di Rembia di sini hari ini.
Katanya, dua studio latihan turut disediakan agar latihan berterusan sepanjang tahun dapat dijalankan, sekali gus memastikan kemahiran artis kebudayaan negeri yang membuat persembahan di pelbagai peringkat termasuk antarabangsa, tidak hilang.
“Jadi kami bagi latihan kepada skuad tarian/kebudayaan kita khususnya di bawah Kumpulan Briged Seni Melaka dan Institut Warisan Melaka secara berterusan memandangkan khidmat mereka ini sentiasa digunakan di peringkat antarabangsa malah oleh Kementerian Pelancongan sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.