Sabar tunggu PPR Taman Tangga Batu Perdana disiapkan hujung 2022

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

PANTAI KUNDOR 12 Mac. – Projek Program Perumahan Rakyat (PPR)
Taman Tangga Batu Perdana, Tanjung Kling berdepan kekangan
untuk disiapkan mengikut jadual asal pada Ogos 2022 akibat
kekurangan pekerja asing akibat pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, anggota masyarakat B40 di kawasan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor diminta bersabar menunggu
projek itu disiapkan menjelang hujung 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor
Azman Hassan berkata, tempoh untuk menyiapkan 120 unit rumah
berkenaan terpaksa dianjakkan beberapa bulan berbanding jadual
asal berikutan pandemik COVID-19 yang menyebabkan kerja
pembinaan terpaksa dihentikan ketika awal pelaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

NOR AZMAN (tengah) mengadakan perbincangan dengan wakil kontraktor, penduduk dan pegawai MBMB di tapak pembinaan PPR Taman Tangga Batu Perdana, Tanjung Kling.- Foto DIN AHMAD

Katanya, projek milik Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (KPKT) itu diamanahkan kepada kontraktor tempatan dan
kerja pembinaan dimulakan pada September 2019.

Katanya, berdasarkan perbincangan beliau dengan wakil kontraktor dan turut disertai wakil penduduk taman itu serta pegawai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) semalam, kontraktor menjelaskan, mereka menghadapi masalah mendapatkan pekerja asing.

“Pandemik COVID-19 menyebabkan kebanyakan kontraktor menghadapi masalah itu dan hanya beberapa bulan selepas PKP dilaksanakan pada Mac tahun lalu, barulah kerja dapat disambung semula.

“Selepas projek ini disiapkan, KPKT akan menyerahkannya kepada
Lembaga Perumahan Melaka (LPM) yang bertanggungjawab
mendapatkan pembeli dalam kalangan B40 yang benar-benar
layak,” katanya ketika ditemui di tapak pembinaan itu semalam.

Taman Tangga Batu Perdana adalah kawasan perumahan kos
sederhana tinggi yang sudah didiami kira-kira 2,000 penduduk
sejak kira-kira lima tahun lalu dan PPR itu adalah sebahagian
daripada keseluruhan taman.

Nor Azman berkata, projek berkenaan menyediakan peluang untuk
golongan B40 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor
untuk memiliki rumah mampu milik.

“Setakat ini belum ada tawaran pembelian yang dibuat oleh LPM
dan saya yakin LPM akan memilih hanya mereka yang berpendapatan rendah untuk membelinya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus projek berkenaan, Ahmad Afandi Anas, berkata kerja menyiapkan bangunan sembilan tingkat itu sekarang sudah mencapai 32 peratus.

Katanya, syarikat kontraktor sudah mengemukakan permohonan
kepada MBMB supaya membenarkannya membuat kerja lebih masa
bagi memastikan projek itu mampu disiapkan mengikut jadual.

Beliau berkata, jumlah 50 pekerja asing sedia ada akan ditambah apabila pandemik COVID-19 semakin reda.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk taman supaya memahami
keadaan semasa yang memerlukan syarikat melakukan kerja lebih
masa yang mungkin dianggap menimbulkan gangguan kepada mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2660
Kongsi :
Previous post Penyebar berita palsu COVID-19, proklamasi darurat berdepan denda RM100,000, penjara
Next post Stadium Sultan Ibrahim raih Anugerah Stadium Terbaik 2020
Ubah saiz-+=