MUSA, MUFC kunjung hormat Tun Mohd Ali

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 11 Mac – Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) dan Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), hari ini telah mengadakan kunjung hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di pejabatnya di Seri Negeri, di sini.

Kunjung hormat itu diketuai Naib Presiden MUSA Datuk Wira Sazali Muhd Din bersama-sama naib presiden yang lain serta barisan Exco badan induk bola sepak negeri itu.

Sazali ketika ditemui Melaka Hari Ini berkata, pertemuan lebih sejam itu bertujuan memaklumkan perkembangan terkini bola sepak Melaka termasuk membabitkan aspek pembangunan, kewangan dan kepimpinan yang baharu dilantik dalam kongres MUSA hujung tahun lalu.

Selain itu, ujar beliau, pihaknya juga berbesar hati menerima pandangan dan buah fikiran daripada Tun Mohd Ali yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pencetus kepada pembangunan sukan di negeri ini termasuklah melalui pembinaan Stadium Hang Jebat.

“Semua pandangan dan idea yang dicurahkan Tun amatlah penting untuk kita beri perhatian kerana beliau seorang yang amat prihatin dengan perkembangan bola sepak negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai aspek tajaan pasukan, Sazali memaklumkan pihaknya kini sedang dalam usaha untuk menarik minat penaja besar dari sektor perkilangan di negeri ini.

Jelasnya, tumpuan terhadap sektor pengilangan itu amat penting dalam usaha memperkukuhkan semula kewangan pasukan.

“Melaka Invest telah membantu kita dalam usaha ini yang mana kita menyasarkan kilang-kilang yang ada dapat membantu dari sudut penajaan pemain dan sebagainya.

“Pada masa sama, kita juga telah menerima sokongan tajaan daripada pelbagai agensi berkaitan kerajaan (GLC) negeri, selain turut berjaya mengekalkan penaja sedia ada seperti Edra Power Holdings Sdn Bhd, Mamee dan Al-Ikhsan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

504
Kongsi :
Previous post Notis kompaun pelanggaran SOP PKP kini RM10,000
Next post MUFC terkesima ‘lakonan’ Beto
Ubah saiz-+=