MUFC mahu FAM ‘gantung’ pengadil
KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) akan menghantar surat aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung tindakan pengadil menghadiahkan penalti kontroversi kepada Kelab Bolasepak Petaling Jaya City (PJ City FC) di Stadium MBPJ, malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, menerusi surat itu juga pihaknya meminta badan induk bola sepak negara menggantung pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa kerana membuat satu keputusan yang bukan sahaja mengecewakan malah hampir sahaja memberikan kekalahan pertama skuad Hang Tuah musim ini.
“Kita berharap FAM akan mengambil tindakan keras yang sewajarnya kepada pengadil tersebut agar perkara ini tidak akan berulang di perlawanan lain di masa akan datang.
“Ia mungkin tidak akan mengubah keputusan, tetapi sekurang-kurangnya kami mahu ia memberi pengajaran kepada pengadil lain agar tidak membuat keputusan yang tidak sewajarnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Aksi di Petaling Jaya semalam menjadi buah mulut peminat bola sepak tanah air selepas video pengadil menghadiahkan sepakan penalti ‘misteri’ kepada PJ City FC tular di laman sosial.
Ulang tayang menunjukkan tiada kekasaran dilakukan Kumaahran terhadap pemain gantian, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri atau lebih dikenali ‘Beto’, namun pengadil kekal dengan pendirian untuk meneruskan sepakan penalti itu dan sekali gus membuat tuan rumah berada di depan ketika perlawanan hanya berbaki empat minit lagi.
Semangat juang yang ditunjukkan pemain MUFC bagaimanapun membuatkan pasukan berpuas hati dengan satu mata apabila berjaya mengikat kedudukan beberapa saat sebelum wisel penamat.
Sementara itu, Ketua Jurulatih MUFC Zainal Abidin Hassan dalam sidang media selepas perlawanan enggan mengulas lanjut mengenai insiden kontroversi tersebut.
Sebaliknya beliau memilih untuk memberikan pujian kepada para pemain yang telah berusaha tanpa putus asa walaupun tertekan akibat keputusan pengadil.
“Selepas penalti tersebut, nampaknya itulah yang membakar semangat Melaka dan alhamdulillah pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka telah berusaha mencari gol hingga wisel penamat.
“Walaupun gol itu hadir tatkala perlawanan hampir tamat, namun bagi saya itu sudah cukup melegakan kerana satu mata itu sudah cukup baik daripada tiada mata lagsung diperolehi dalam perlawanan ini.
“Apapun, saya berharap pemain-pemain saya akan lebih berdisiplin selepas ini agar situasi sama ketika aksi bertemu PJ City FC ini tidak akan berulang lagi,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.