‘Musang King’ ancam Empangan Durian Tunggal
DURIAN TUNGGAL 9 Mac – Kerajaan negeri memandang serius isu pencerobohan tanah di kawasan Empangan Durian Tunggal yang berlarutan dari 2014 hingga ke hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, hasil lawatannya ke empangan berkenaan, hari ini mendapati masih ada penceroboh mengusahakan tanah rizab empangan bagi tujuan pertanian.
Jelasnya, tanah rizab seluas 31.33 hektar di sekitar empangan didapati telah ditanam pelbagai jenis tanaman kontan termasuklah durian ‘Musang King’, kelapa sawit, buah naga, sireh, kelapa, tanaman sayur-sayuran, pisang dan jambu.
“Selain itu, terdapat juga struktur bangunan kekal dibina di atas tanah rizab empangan yang masih digunakan sebagai rumah penginapan, rumah pekerja asing, rumah pam air, chalet dan lain-lain.
“Untuk makluman, jumlah keluasan tanah rizab empangan yang telah diceroboh adalah sekitar 188.73 hektar.
“Kerajaan Negeri Melaka telah mula mengeluarkan penceroboh di tanah rizab empangan mulai 2014. Hasil pemantauan mendapati 75 peratus penceroboh telah mengosongkan kawasan rizab setelah diberikan notis pengosongan tapak oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah, namun ada lagi yang masih berdegil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Empangan Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Salhah Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Abd Rashid Ab Rahman dan Pengarah BKSA Melaka Faizah Abd Rahman.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, aktiviti tanaman kontan dan jangka panjang di sepanjang rizab empangan menjadi faktor utama menyumbang kepada penyusutan air di empangan dan penurunan kualiti air mentah yang digunakan untuk lima loji utama di Negeri Melaka.
Jelasnya, berdasarkan kepada Kajian Bathymetric yang dijalankan di Empangan Durian Tunggal pada 2016, Melaka telah kehilangan air sebanyak 32.5% berbanding kapasiti semasa pembinaan.
Justeru, ujarnya, kerajaan negeri melalui BKSA dan PDT Alor Gajah serta Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Negara (CGSO) sedang mengatur strategi untuk mengeluarkan semua penceroboh di tanah rizab empangan sebagai langkah memastikan keselamatan kawasan tadahan dan tanah kerajaan tidak diceroboh.
“Empangan Durian Tunggal telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan dan tempat larangan di bawah Seksyen 4 Akta Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan 1959 melalui Perintah Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan (No.7) 2011.
“Oleh yang demikian, tindakan undang-undang akan diambil kepada penceroboh yang masih ingkar agar menjadi pengajaran kepada yang lain.
“Kerajaan negeri juga akan melaksanakan Kerja-kerja pembersihan tapak tanaman dan perobohan struktur bangunan kekal di atas tanah rizab secara berperingkat selain turut menjalankan kerja-kerja pemasangan pagar di sekitar empangan sepanjang 12.1km,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.