Air tebu, kelapa laris pada musim panas
MELAKA 9 Mac. – Cuaca panas terik yang berlarutan sejak kebelakangan ini memberi rahmat buat peniaga minuman di tepi jalan khususnya apabila jualan mereka laris bagaikan ‘pisang goreng panas’.
Peniaga air kelapa pandan, Mahat Deros, 57, berkata, berbanding sebelum ini jualannya kini mampu mencecah kira-kira 40 biji kelapa sehari dan ada kalanya ‘tidak menang tangan’ melayan pelanggan yang singgah di gerai jualannya.
“Dalam keadaan cuaca panas terik ini sudah pasti cepat sahaja haus dan ramai yang mencari minuman. Air kelapa pandan ini bukan sahaja dapat enak diminum bagi menghilangkan dahaga, malah boleh menyejukkan badan.
“Walaupun saiznya kecil namun isi kelapa pandan ini tebal dan sebiji dijual pada harga RM5, bagaimanapun jika ada pelanggan yang ingin membeli yang sudah sedia di dalam jug ia dijual RM3 secawan,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Pinang, Batang Tiga.
Bekas pemandu bas ekspress itu berkata, dia mula menjual air kelapa pandan sebagai punca pendapatan sejak Oktober lalu selepas kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 dan hasil jualan itu membolehkannya menampung perbelanjaan harian.
Sementara itu, bagi warga emas penjual air tebu Mohamad Che Ros, 74, sejak cuaca panas melanda dia terpaksa menggandakan bekalan tebu yang diambil bagi menampung permintaan pelanggan.
Katanya, kebiasaan bekalan tebu yang diambil hanya empat ikat iaitu kira-kira 40 batang sehari, namun sejak musim panas dia menyediakan sehingga 80 batang bagi memenuhi permintaan pelanggan yang makin bertambah.
“Daripada pengalaman berniaga sejak 17 tahun lalu, setiap kali musim panas pasti permintaan meningkat dan dapatlah hasil lebih sedikit,” katanya yang berniaga di Jalan Pokok Mangga.
Menurutnya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dia dan isteri yang turut berniaga rojak menutup gerai jualan, namun kembali berniaga atas permintaan pelanggan tetap.
“Ramai yang bertanya dan menelefon mengatakan teringin air tebu disebabkan cuaca panas jadi untuk tidak menghampakan pelanggan, kami kembali beroperasi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.