Hanya 15 peratus rakyat Melaka sudi terima vaksin
AYER KEROH 9 Mac – Seramai 99,852 rakyat di negeri ini sudah mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera, setakat hari ini.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat berkata, jumlah itu bagaimanapun hanya membabitkan sekitar 15 peratus daripada pengguna MySejahtera di negeri ini dan ia disifatkan masih di tahap rendah.
Menurutnya, setakat ini Selangor mencatatkan pendaftaran tertingi di aplikasi berkenaan iaitu seramai 1,481,242 orang.
“Di Melaka sekitar 15 peratus atau 99,852 sudah mendaftar setakat hari ini yang mana ia mengatasi Terengganu (92,006), Putrajaya (45,435) dan Wilayah Persekutuan Labuan (30,379).
“Begitupun, jumlah itu masih rendah memandangkan setakat ini jumlah keseluruhan pendaftaran di Malaysia ialah 4,161,915 orang dengan Selangor berada di kedudukan teratas apabila lebih 1.4 juta rakyatnya sudah mendaftar.
“Memandangkan 98 peratus rakyat di negeri ini sudah mendaftar sebagai pengguna MySejahtera, justeru kita berharap sangat rakyat dapat segera mendaftar sebagai penerima vaksin,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Nasrul berkata, pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera itu sangat penting bagi memudahkan penyelarasan dan pengagihan vaksin yang dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.
Ujarnya, rakyat tidak perlu bimbang mengenai pengambilan vaksin COVID-19 memandangkan ia telah terbukti dalam aspek klinikal kesihatan di peringkat dunia buat masa ini.
“Buat masa ini, ia adalah satu-satunya cara paling berkesan untuk melindungi kita semua daripada dijangkiti COVID-19.
“Vaksinasi ini juga menjadi syarat utama untuk ke luar negara termasuk bagi tujuan menunaikan ibadah haji dan umrah seperti yang dicadangkan kerajaan Arab Saudi.
“Sebab itulah MKN menyeru semua rakyat agar segera mendaftar dan tidak risau untuk menjadi penerima vaksin yang diagihkan secara berperingkat nanti,” katanya.
Untuk rekod, selain melalui MySejahtera, rakyat juga boleh mendaftar sebagai penerima vaksin melalui laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (vaksincovid.gov.my) atau menerusi talian hotline yang akan diumumkan.
Selain itu, orang ramai juga boleh mendaftar di klinik kesihatan dan hospital awam serta swasta atau menerusi program bantuan (outreach) bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.