‘Saya seperti mati hidup semula’
PANTAI KUNDOR 9 Mac – “Saya nampak besi cangkuk kontena berhayun laju tetapi tidak sempat mengelak sebelum ia menghentam kepala saya yang menyebabkan saya terjatuh dari atas kontena ke lantai kapal setinggi enam meter.
“Sejurus jatuh, kepala dan kaki saya amat sakit sebelum saya pengsan dan hanya sedar apabila sudah berada dalam ambulans,” kata pekerja kontrak pemunggahan kontena di Pelabuhan Tanjung Beruas, Tanjung Kling, di sini Hussin Ismail, 35.
Bapa kepada empat anak berusia antara satu hingga 15 tahun itu berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, 1 Mac lalu, dia dan beberapa pekerja lain memasang besi cangkuk pada kontena di dalam perut kapal sebelum ditarik kren.
Bagaimanapun, ketika memasang besi cangkuk pada kontena yang berada pada lapisan kedua, tiba-tiba alat berkenaan terhayun ke arahnya sebelum sempat dipasang pada kontena.
Ketika kejadian, Hussin dan pekerja lain bertugas mengeluarkan puluhan kontena dari dalam perut kapal ke dermaga pelabuhan.
Menceritakan detik cemas itu, Hussin yang bertugas separuh masa di pelabuhan itu berkata, kemalangan itu hampir meragut nyawanya tetapi Allah memanjangkan usianya.
“Akibat hentaman besi cangkuk dan saya terhempas di lantai perut kapal, saya menerima banyak jahitan pada kepala manakala kaki kanan terpaksa disimen,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Mohd Azuan Mat Yusof dilaporkan berkata, bomba menggunakan ‘bucket stretcher’ dan ‘webbing’ untuk menaikkan mangsa dengan bantuan kren.
Hussin berkata, kejadian itu disifatkannya sebagai ‘sudah mati hidup kembali’ dan bersyukur kerana masih mampu meneruskan kehidupan di samping keluarga tercinta.
Sehubungan itu, Hussin diberikan cuti sakit selama sebulan tetapi beliau menjangka kecederaan kakinya memerlukan tempoh yang lebih lama.
Dia yang turut menangkap ikan pada waktu tiada panggilan kerja di pelabuhan, akan merindui untuk berada di tengah laut menarik jaring dan rawai.
“Saya ke laut sejak kecil dan bekerja di pelabuhan sejak beberapa tahun lalu hanya apabila majikan memanggil saya dan pekerja lain untuk mengeluarkan pelbagai muatan dalam kapal,” katanya.
Sehubungan itu, dia berjanji akan lebih berhati-hati ketika membuat kerja berkenaan pada masa depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.