Sorting by

×

Kerangka 4K jadi tumpuan dalam memperkasa wanita- Rina

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR 8 Mac. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi tumpuan kepada inisiatif berlandaskan kerangka 4K – kemahiran, kewangan, keseimbangan dan kesaksamaan – dalam usaha memperkasa wanita di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata inisiatif dibangunkan Jabatan Pembangunan Wanita itu merangkumi penyediaan peluang kemahiran, memfokus pengukuhan kewangan, mengangkat kepentingan aspek keseimbangan serta memberi keutamaan kepada usaha mencapai kesaksamaan dan kepimpinan kendiri.

“Ia dijajarkan dengan hasil tinjauan oleh Institut Sosial Malaysia pada Julai 2020 yang mendapati rata-rata wanita memerlukan sokongan berbentuk kursus kemahiran yang memberikan mereka peluang untuk menjana pendapatan,” katanya dalam ucapan pada majlis sambutan Hari Wanita 2021 yang dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya, hari ini.

Rina berkata kerangka inisiatif itu akan menjadi asas kepada pembentukan program pemerkasaan wanita pada tahun ini yang fokus pelaksanaannya termasuk meningkatkan kerjasama erat dengan lebih ramai pihak dalam aspek perlindungan wanita.

Selain itu, katanya ia turut menekankan peningkatan peluang menjana pendapatan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran terutama dalam kalangan wanita B40, selain pengukuhan jaringan komunikasi dan penyampaian maklumat antara kementeriannya dengan kumpulan sasar melalui kolaborasi dengan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan wanita.

Dalam pada itu, Rina mengakui perjalanan bagi mengangkat agenda wanita di Malaysia masih jauh dan berliku walaupun banyak inisiatif dilaksanakan saban tahun.

Beliau berkata sebagai contoh, 969 program khusus untuk wanita dilaksanakan tahun lepas oleh Jabatan Pembangunan Wanita melibatkan 400,438 orang.

Namun, katanya, laporan Global Gender Gap Index 2020 yang dikeluarkan oleh World Economic Forum (WEF) menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-104 daripada keseluruhan 153 negara.

“Secara kasarnya, WEF menyasarkan rantau Asia Timur dan Pasifik memerlukan lebih kurang 163.4 tahun lagi untuk menutup sepenuhnya jurang gender ini.

“Selain itu, berdasarkan perbandingan skor WEF ini juga, pencapaian keseluruhan negara ASEAN lain didapati lebih ke hadapan berbanding Malaysia, yang berada di tangga kesembilan daripada 10 negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

915
Kongsi :
Previous post Polis Kelantan tumpaskan sindiket curi elektrik lombong bitcoin
Next post ‘Easy Shop Melaka’ platform digital pacu sektor keusahawanan
Ubah saiz-+=