Keluarga ‘hantu’ diberkas polis
AYER KEROH 8 Mac – Seorang nenek 29 cucu, anak perempuan, menantu serta dua lagi rakan ‘sindiketnya’ ditahan polis selepas dipercayai memiliki dadah dan mercun dalam tiga serbuan berasingan di Alor Gajah di sini kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.
Hasil maklumat awam itu katanya, polis menyerbu rumah warga emas berusia 64 tahun itu yang juga ibu kepada 13 anak dan mempunyai 29 cucu di Taman Seri Bayu, Alor Gajah jam 11.30 malam Sabtu lalu.
“Pemeriksaan polis menjumpai satu paket plastik berisi daun kering disyaki ganja dan dua papan timah mengandungi tiga biji pil Eramin 5 di rumah wanita terbabit.
“Turut ditahan adalah anak perempuannya berusia 25 tahun dan menantunya berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan yang dipercayai terlibat dalam jenayah terbabit selain dua rakan lelaki mereka berusia 21 dan 27 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati kelima-lima mereka negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah.
Hasil maklumat itu, Zulkiflee berkata, polis melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Melaka Pindah jam 12.20 tengah malam Ahad lalu yang didiami pasangan kekasih yang juga rakan kepada kelima-lima orang kena tuduh (OKT).
“Hasil pemeriksaan polis menjumpai satu balutan kertas mampat seberat 9.73 gram disyaki ganja dan satu beg mengandungi sembilan paket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 54.16 gram dianggarkan bernilai RM6,000 mengikut harga pasaran semasa.
“Susulan itu, polis menahan lelaki berusia 24 tahun dan teman wanitanya berusia 36 tahun masing-masing mempunyai empat dan enam kesalahan dadah.
“Hasil saringan ujian air kencing kedua-dua mereka didapati positif dadah jenis syabu,” katanya sambil menambah kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 kerana positif dadah dan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana memiliki dadah.
Tambahnya, susulan itu polis membuat serbuan ketiga pada jam 3 pagi hari sama di rumah suspek berusia 23 tahun yang juga menantu wanita warga emas itu di Durian Tunggal sebelum menemukan lapan kotak besar mengandungi pelbagai jenis bunga api dan mercun dianggarkan bernilai lebih RM2,000.
“Siasatan awal mendapati bekalan mercun dan bunga api diperolehi secara berperingkat untuk jualan pada musim perayaan akan datang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957(Akta 207) yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.