Sorting by

×

Kaji kesesuaian kemudahan BDR gaji penuh jaga ahli keluarga uzur, suami bantu jaga anak baru lahir

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA LUMPUR 8 Mac. – Kerajaan mengkaji kesesuaian memperluas kemudahan Berkerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam dan swasta dengan gaji penuh, bagi menjaga ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri menjaga anak yang baru lahir.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut bagi menggalakkan tanggungjawab bersama dan membolehkan wanita kekal dalam sektor pekerjaan serta meningkatkan produktiviti kerja golongan tersebut.

“Saya menyarankan agar Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia, melihat kesesuaian pemerluasan kemudahan ini,” katanya ketika berucap sempena Hari Wanita 2021 secara rakaman yang disiarkan di beberapa rangkaian televisyen hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga mengkaji jika kemudahan BDR itu dapat dipanjangkan kepada wanita atau lelaki yang kematian pasangan, bagi membolehkan mereka menguruskan perkara berkaitan dengan urusan kematian yang lazimnya memerlukan masa agak lama untuk diselesaikan.

Muhyiddin secara tegas juga menggesa semua pihak, agar memberikan perhatian kepada penyediaan persekitaran kerja yang selamat termasuklah memastikan adanya usaha-usaha pencegahan daripada berlakunya gangguan seksual.

“Juga memastikan apa sahaja aspek perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program menggunakan analisis gender melalui bajet yang responsif gender,” katanya.

Beliau juga menyeru sektor awam dan swasta, mengambil peluang penyediaan geran kerajaan bagi penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di premis masing-masing, yang katanya akan memberikan kesan berganda kepada banyak pihak.

Dalam pada itu katanya, selari tema yang diangkat oleh UN Women sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021 iaitu ‘Women in leadership: Achieving an equal future in a COVID-19 world’ Muhyiddin berkata, suara wanita perlu didengar di peringkat lebih tinggi, dan diberikan tempat sebagai pembuat keputusan yang sewajarnya, sesuai dengan bidang kepakaran masing-masing.

Memperincikan mengenai kemudahan perniagaan untuk golongan wanita, Perdana Menteri berkata di bawah MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, kerajaan akan menyediakan insentif yang dikenali sebagai MyKasih Kapital.

“ … iaitu suntikan modal perniagaan contohnya dalam bidang e-dagang ataupun ‘dropship’ dengan modal maksimum sebanyak RM1,000 kepada sekurang-kurangnya 2,000 orang penerima yang berkelayakan,” katanya.

Kerajaan juga akan menubuhkan Skuad WAJA, yang dibentuk melalui penyertaan komuniti wanita yang akan memberikan sokongan psikososial dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu jenayah, bagi menghentikan keganasan terhadap wanita, serta memperkasakan pengetahuan umum mengenai hak-hak mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

894
Kongsi :
Previous post Pemerkasaan wanita akan terus jadi agenda penting negara
Next post Vaksin COVID-19 beri harapan sempadan negara dibuka, rancakkan pelancongan
Ubah saiz-+=