Sorting by

×

Isteri lambat masak, suami tak mandi, jadi punca cerai waktu PKP

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 7 Mac – Isteri lambat masak, suami tidak mandi, dan anak kerap lapar antara punca remeh lafaz talak yang direkodkan di Melaka sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0 yang lalu.

Malah, turut menjadi penyumbang penceraian adalah aplikasi media sosial yang menjadi platform pasangan memuat naik status mendedahkan aib suami atau isteri sehingga memburukkan lagi ketidaksefahaman dalam rumah tangga.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman berkata, semua alasan remeh itu bagaimanapun bermula dengan isu asal iaitu masalah kewangan sebagai punca utama.

KETUA Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM), Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman

“Nampaknya, masyarakat kita ini belum dapat menyesuaikan diri kehidupan berkeluarga itu dengan norma baharu khususnya sewaktu PKP yang mana kita tahu mereka terpaksa ‘dikurung’ 24 jam sehari di dalam rumah.

“Mula-mula mungkin okay, tapi bila masuk minggu ke empat, lima dan seterusnya mulalah ‘trend’ itu berubah sebaliknya walaupun awalnya kita sangka PKP itu boleh merapatkan hubungan suami isteri

“Waktu PKP ini timbullah alasan remeh yang sebenarnya berpunca daripada masalah kewangan sedangkan isu itu tidaklah sehingga boleh menjadi punca penceraian sebelum PKP,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Menurut Mohd Nadzri, kes penceraian mula menunjukkan trend peningkatan antara tempoh Jun sehingga September tahun lalu sewaktu PKP 1.0 malah statistik sewaktu PKP 2.0 bermula Januari sehingga Februari lalu peningkatan kes cerai sehingga 50 peratus iaitu 231 kes.

Dalam tempoh itu, katanya pasangan mula memfailkan pelbagai kes ke Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM) dan kebanyakan kes yang difailkan terdiri daripada tuntutan perceraian, tuntutan pengesahan lafaz cerai, tuntutan fasakh, tuntutan pengesahan cerai takliq dan tuntutan khuluk atau tebus talaq.

“Maksudnya, kes yang banyak difailkan berbanding kes-kes lain ialah permohonan cerai dan malah mengikut laporan kita, pendengaran kes cerai boleh dikatakan berlaku saban hari antara lima hingga 10 kes.

“Kebanyakan kes adalah membabitkan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang bekerja sendiri atau tidak bekerja sewaktu PKP manakala 30 peratus lagi adalah dari golongan profesional seperti penjawat awam atau swasta berumur antara 21 hingga 40 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, faktor PKP adalah antara penyumbang utama kepada peningkatan permasalahan rumahtangga disebabkan pasangan atau kedua-dua pihak terputus punca rezeki

“Sebab itu, tidak mustahil, jika PKP, PKP Bersyarat (PKPB) diteruskan dan sektor ekonomi masih tidak dibenarkan beroperasi, kes penceraian ini dijangka akan terus bertambah.

“Namun bagi bagi mengatasi isu ini, saya menyarankan agar penekanan asas ilmu agama perlu diterapkan kepada semua pasangan dan bukan sahaja ketika mereka ingin berkahwin, sebaliknya perlu bermula dibangku sekolah lagi,” katanya.

Views:

1253
Kongsi :
Previous post ‘Talak PKP’: Kumpulan B40 paling ramai
Next post Malaysia dapat tambahan 10,000 kuota haji- Muhyiddin
Ubah saiz-+=