JBPM lakukan 106 operasi sanitasi awam di seluruh negara,semalam
KUALA LUMPUR 5 Mac. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan 106 operasi sanitasi awam di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi sanitasi itu meliputi 34 zon merah, 10 zon jingga, 14 zon kuning dan dua zon hijau.
“Operasi sanitasi ini melibatkan 418 anggota JBPM dan 200 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 95 jentera JBPM.
“Secara kumulatifnya, sebanyak 17,772 operasi sanitasi merangkumi 146 zon telah dilakukan sejak 30 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan berkenaan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.
Jelasnya, operasi sanitasi melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan.
Sementara itu beliau berkata, seramai 7,516 warga asing menjalani ujian saringan COVID-19 semalam dengan 68 orang didapati positif COVID-19.
Katanya, seperti diumumkan ujian saringan COVID-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja asing mulai 1 Februari lalu.
“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) merekodkan seramai 575,295 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 melibatkan 30,112 majikan setakat ini.
“Daripada jumlah itu seramai 9,138 orang disahkan positif COVID-19, manakala 566,157 lagi negatif,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini juga sebanyak 1,508 klinik telah terlibat dengan program saringan ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.