PMB Tijari sasar salur pembiayaan RM150 juta untuk 150 usahawan tahun ini
KUALA LUMPUR 5 Mac. – PMB Tijari Bhd, anak syarikat Pelaburan Mara Bhd (PMB), menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sebanyak RM150 juta bagi membantu sehingga 150 usahawan berpotensi pada tahun ini berbanding RM210 juta pada 2020.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari Bhd, Norati Ibrahim berkata pengurangan sasaran itu disebabkan ramai usahawan mengalami kekurangan projek serta yang tertangguh akibat pandemik COVID-19 pada tahun lepas.
“Pandemik itu menyebabkan (jumlah) projek-projek dikeluarkan telah berkurangan dan tertangguh dan akibatnya kita hanya dapat membantu sedikit usahawan pada tahun lepas.
“Oleh kerana 2021 adalah (tempoh) pasca pandemik, kita terpaksa kurangkan sedikit sasaran pembiayaan iaitu RM150 juta merangkumi 100 hingga 150 usahawan,” katanya pada majlis menandatangani surat tawaran pembiayaan tersebut yang membabitkan lima usahawan di sini, pada Jumaat.
Bagi tempoh September 2014 sehingga kini, PMB Tijari telah membiayai hampir 210 usahawan daripada pelbagai sektor yang melibatkan pembiayaan hampir RM300 juta dengan had maksimum pembiayaan adalah RM5 juta.
Menurut Norati, sejak Januari 2021, PMB Tijari sudah meluluskan pembiayaan sebanyak RM40 juta kepada 12 usahawan, termasuk lima usahawan tersebut dengan nilai RM18 juta.
“Semua syarikat hari ini adalah penerima pembiayaan pertama kali. Ini sejajar dengan matlamat kita untuk membantu usahawan berpotensi mendapat pembiayaan kewangan menerusi produk-produk pembiayaan yang ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata, PMB Tijari menyasarkan syarikat yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan kebolehan namun tidak berupaya memperolehi pinjaman daripada pihak bank atau insitusi kewangan lain.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Azizah Mohd Dun menyifatkan bantuan pembiayaan untuk lima usahawan tersebut sebagai tanda sokongan kepada yang lain bagi mendapatkan kemudahan berkenaan.
“Saya berharap PMB Tijari dapat membantu lebih ramai usahawan. Ini kerana kita ingin melihat lebih ramai usahawan dapat bangkit di masa depan dalam membantu memajukan ekonomi negara serta dapat menyediakan peluang pekerjaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.