Sorting by

×

Ahli perniagaan dicekup guna gelaran palsu

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

MELAKA 4 Mac. Tindakan tiga individu termasuk pasangan suami isteri yang menggunakan gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datin’ palsu berjaya ditumpaskan polis negeri ini.

Kesemua mereka yang juga ahli perniagaan ditahan dalam serbuan di Bangi, Selangor pada 30 Januari lalu sekali gus menjadi individu pertama di negara ini disiasat mengikut Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, mereka yang ditahan berusia antara 43 hingga 57 tahun yang mendakwa sebagai pengasas, sekretariat Gabungan Datuk-Datuk Malaysia (GDDM) serta pegawai seranta bagi pertubuhan itu.

TIGA suspek yang ditahan kerana menggunakan gelaran ‘Datuk; dan ‘Datin’ palsu.

“Gerakan kumpulan ini yang dipercayai menerima penganugerahan darjah dari negara jiran oleh ‘Kesultanan Keradjaan Indragini’ dikesan pada Ogos lalu selepas mengadakan majlis makan malam beradat di sebuah hotel di negeri ini.

“Siasatan mendapati terdapat kira-kira 120 individu hadir dengan memakai pakaian istiadat serta darjah kebesaran ‘datuk’ yang dianjurkan oleh Pertubuhan Usahawan Elit Malaysia bersama gabungan berkenaan diketuai suspek yang berusia 43 tahun dengan menggunakan gelaran ‘Datuk Panglima’ palsu.

“Selain menahan suspek, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk sijil watikah titah penganugerahan darjah kebesaran, surat kesultanan serta pelbagai barangan membabitkan istiadat palsu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini.

ANTARA pingat yang dirampas polis dalam serbuan berkenaan.

Menurut beliau, hasil kerjasama daripada Bahagian Istiadat Dan Urusetia Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri mendapati ketiga-tiga suspek tidak pernah mempunyai rekod sebagai penerima darjah kebesaran daripada mana-mana negeri dan pusat.

“Kumpulan ini turut dipercayai menggunakan gelaran ‘datuk’ palsu bagi tujuan perniagaan dan mendapatkan pengaruh bagi mendapatkan kepercayaan individu.

“Justeru orang ramai diingatkan untuk tidak sewenang-wenangnya mempercayai sebarang tawaran memiliki tawaran ‘datuk’ dan perlu menyemak terlebih dahulu dengan agensi berwajib,” katanya.

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata, ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) Akta Kesalahan Berhubung Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) kerana menggunakan gelaran dan panggilan anugerah asing yang tidak diiktiraf.

“Kes ini adalah kes pertama dalama negara yang disiasat di bawah seksyen ini.

“Ia memperuntukkan seseorang warganegara tidak boleh menggunakan gelaran serta panggilan anugerah asing yang tidak diiktiraf dalam sebarang bentuk dan acara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1891
Kongsi :
Previous post ‘Jambatan berbahaya tunggu masa’
Next post Nahas Suke: pemandu treler positif dadah- polis
Ubah saiz-+=