Ops Duri 2.0: Peniaga ‘raja buah’ dipantau

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Melaka optimis dalam membendung insiden penipuan dalam urusan jual beli ‘raja buah’ di negeri ini.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pihaknya kini giat menjalankan Ops Duri 2.0 yang bermula sejak 22 Februari lepas dan akan berakhir 22 Mac ini.

Beliau berkata, memandangkan musim penjualan buah durian sudah bermula, KPDNHEP negeri telah menggerakkan pasukan penguat kuasa untuk memantau aktiviti ini agar tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Objektif utama Ops Duri 2.0 adalah untuk memastikan peniaga tidak memanipulasi harga dan juga penipuan alat sukatan timbang yang digunakan.

“Peniaga yang diperiksa membabitkan peniaga fizikal yang membuka kedai atau gerai serta yang menjalankan secara atas talian,” katanya.

ALAT sukatan timbang turut diperiksa.

Menurutnya, sehingga kini, KPDNHEP telah melaksanakan sebanyak 15 pemeriksaan di seluruh negeri ini.

“KPDNHEP mengingatkan para peniaga durian agar terus mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Kami tidak akan berkompromi sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan oleh peniaga dibawah Akta Kawalan Harga 2011 serta Akta Timbang Sukat 1961,” katanya.

Mengulas lanjut Norena berkata, selain daripada itu, prosedur operasi standard (SOP) perdagangan yang dikuatkuasakan turut dipantau dalam kalangan peniaga bagi memastikan pematuhan penuh penularan wabak COVID-19 dapat dibendung.

“Oleh itu masyarakat dan peniaga diingatkan agar mematuhi undang- undang yang dikuatkuasakan serta patuh kepada SOP dan sekiranya terdapat sebarang maklumat boleh terus salurkan kepada kami untuk tindakan lanjut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

354
Kongsi :
Previous post Aplikasi PerjalananKu tawar RM1,000
Next post Lelaki parah jatuh ke dalam perut kapal
Ubah saiz-+=