Vaksin COVID-19: Harapan si pengayuh beca setahun ‘setia’ menanti pelancong

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR: Biarpun tahu tiada pelancong akan menggunakan khidmat beca yang ditawarkan, kelibat lelaki warga emas ini sering dilihat ‘menemani’ Bangunan Stadthuys yang menjadi icon pelancongan negeri di sini sejak hampir setahun yang lalu.

Dalam situasi pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini, usaha itu tentu sahaja bukan untuk meraih pendapatan dari pelancong yang adanya pun tidak dek kerana negeri bahkan negara yang masih menutup pintu sempadannya kepada kemasukan pelancong.

Namun itulah nilai ‘kesetiaan’ ditunjukkan pengayuh beca, Abu Bakar Osman, 61, yang tanpa sehari pun gagal menunjukkan keberadaannny di ‘bangunan merah’ yang menjadi tumpuan ribuan pelancong itu sekaligus menjadi lubuk rezeki buatnya sejak lebih dua dekad lalu.

“Mengayuh beca ini sudah begitu sebati dengan diri saya sejak 20 tahun lalu kerana inilah satu-satunya punca rezeki saya setelah berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan dan tukang kebun sekolah.

“Biarpun sudah hampir setahun negara dan dunia dilanda pandemik COVID-19, saya masih belum dapat menerima hakikat sudah setahun jugalah Melaka ‘mati’ daripada kunjungan pelancong dalam dan luar negara yang menjadi sumber pendapatan saya selama ini.

“Mungkin sebab itulah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 Mac tahun lalu sampai sekarang, setiap hari saya akan tetap menunggu pelancong di sini walaupun ada yang menganggapnya sebagai ‘kerja gila’,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di sini hari ini.

ABU Bakar mengelap beca miliknya sementara menunggu kehadiran pelancong.

Abu Bakar yang masih bujang berkata, sudah menjadi rutin hariannya setiap hari sejak PKP, PKPB (PKP Bersyarat) dan PKPP (PKP Pemulihan) untuk berada di Bangunan Stadthuys bermula jam 9 pagi sehingga 8 malam.

“Waktu mula-mula PKP 1.0, memang saya tak boleh keluar langsung kerana tidak dibenarkan kerajaan tapi selepas itu apabila mendapat kelonggaran bekerja, setiap hari pasti saya berada di sini lebih 10 jam sehari.

“Nasiblah, ada hari tiada pendapatan, ada hari dapatlah RM25 ke RM50 itu pun atas ihsan pelancong tempatan yang prihatin dengan nasib pengayuh beca.

“Mungkin ada yang akan beranggapan kerja yang saya buat ini sia-sia kerana tiada pelancong, tapi apalah pilihan lain yang saya ada untuk membayar sewa rumah RM250 sebulan, selain keperluan barang dapur yang perlu dilunaskan.

“Walaupun masih bujang, saya juga ada tanggungan untuk menjaga anak arwah adik perempuan yang masih kecil selain cucu saudara yang kadang-kadang datang ke rumah di Bukit Rambai,” katanya.

ABU Bakar Osman sudah mengayuh beca sejak 20 tahun lalu dan tahun ini agak berbeza berbanding tahun sebelum ini kerana penangan ‘pandemik’ COVID-19 telah menyebabkan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehinggakan aktiviti rentas negeri serta daerah tidak dibenarkan pada PKP 2.0 baru-baru ini.

Menurut Abu Bakar, sehubungan itu dia berharap, Program Imunisasi COVID-19 peringkat Melaka yang bermula hari ini dapat memberi khabar gembira apabila orang ramai secara berperingkat mula mendapat suntikan vaksin virus COVID-19.

“Apapun yang berlaku, saya akan terus ‘setia’ menanti di sini sehingga ke akhir hayat dan berharap dapat melihat negara kembali sihat seperti sebelum ini.

“Jauh di sudut hati, rasa sayu dan rindu melihat suasana Melaka yang pernah meriah dengan pelancong dan beca yang begitu sinonim dengan bumi Hang Tuah ini,” katanya sebak mengakhiri perbualan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

264
Kongsi :
Previous post Surau SMK Pernu dijangka siap April depan
Next post Aplikasi PerjalananKu tawar RM1,000
Ubah saiz-+=