
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Melaka bermula secara rasmi hari ini
AYER KEROH 2 Mac. – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menjadi individu pertama di negeri ini menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech diĀ Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini.
Penerimaan suntikan dos pertama itu sekali gus menandakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri Melaka bermula secara rasmi hari ini.
Seramai enam individu disenaraikan penerima vaksin sebagai upacara simbolik pelancaran program berkenaan.

Sulaiman menerima suntikan pada jam 10.27 pagi disusuli seorang wakil petugas barisan hadapan dari Jabatan Kesihatan Negeri yang menerima suntikan vaksin sama selang beberapa minit kemudian.
Turut menerima suntikan vaksin itu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusof bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Hasim Hasan.
Dua lagi individu yang turut menerima suntikan vaksin adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ismail Ali.
Terdahulu, ketibaan Sulaiman pada jam 10 pagi disambut Rahmad dan Ab Rauf sebelum memasuki Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri untuk menerima suntikan dos pertama itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.