Murid Tahun 1 teruja kembali ke sekolah
AYER KEROH 1 Mac – “Kali ni dah tak perlu berperang dengan anak kalau nak pergi sekolah, kejut sekejap je anak dah bangun.”
Demikian kata Nur Sharmilla Mohamad,35, yang menguruskan persiapan sekolah anaknya Izzul Rizqin Mohd Zulfikri berusia lapan tahun.
Menurutnya, jika sebelum ini lebih sukar untuk mengejutkan anaknya ke sekolah, namun berbeza kali ini yang mana anaknya bangun seawal jam 6 pagi.
“Hari ini tak perlu berperang dengan anak, kejut sekejap je dah bangun. Semalam pun dah tidur awal biasanya jam 12 tengah malam atau 1 pagi baru tidur.
“Dia siap pesan dekat saya supaya jangan risau sebab dia dah besar dan tahu untuk jaga diri di sekolah,” katanya.
Nur Sharmilla berkata, cabaran hari pertama persekolahan sentiasa ada, namun pesanan kepada anak dalam norma baharu juga tidak dilupakan.
“Saya pesan supaya sentiasa pakai pelitup muka dan ikut prosedur operasi standard, belajar elok-elok di sekolah, air jangan kongsi dan jangan gaduh dengan kawan-kawan,” katanya kepada MHI.
Bagi Sharizanerni Norramlai,40, mentaliti anak-anak hari ini berbeza berbanding sebelum ini kerana tiada lagi tangisan yang tidak mahu ke sekolah.
“Alhamdulillah cabaran kali ini lebih mudah, saya sentiasa pesan dan terangkan pada anak Amsyar Azmin,7, hari ini dah mula sekolah dan persekitaran tak sama macam tadika.
“Hari ni dia bangun awal jam 6.15 pagi dan tak perlu kejut banyak kali, ini terbukti dia sangat teruja walaupun kali pertama menjejakkan kaki ke alam persekolahan,” katanya.
Katanya, sentiasa berpesan kepada anakknya situasi sekolah berbeza dan akan ada ramai kawan-kawan baharu.
“Budak zaman sekarang dah tiada situasi menangis, mak ayah dah ajar dan maklum kepada anak-anak sejak awal lagi.
“Saya hantar dia turun dan terus masuk ke sekolah, tak perlu tunggu sebab nampak dia gembira dan teruja walaupun hari pertama sekolah,” katanya lagi.
Bagaimanapun, tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) sekitar jam 6.45 pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Keroh hari ini mendapati rata-rata ibu bapa tiba lebih awal di pekarangan sekolah untuk menghantar anak-anak mereka.
Ternyata kali ini murid Tahun Satu dan Dua sudah bersedia kembali ke sekolah untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka, malah jelas kelihatan riak wajah mereka yang ceria.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.