Sorting by

×

Keperluan lindung nyawa dan jamin kelansungan hidup, cabaran utama kerajaan PN- Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PUTRAJAYA 1 Mac. – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil langkah berani serta proaktif untuk melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup sepanjang tahun lalu kerana pandemik COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan virus berkenaan dan pada masa sama memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion untuk meringankan beban rakyat serta memastikan kelangsungan perniagaan.

“Cabaran utama kita adalah untuk mengimbangi antara keutamaan melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup. Jika boleh disimpulkan, melindungi nyawa dan kehidupan adalah dua kata kunci utama yang menggambarkan tumpuan pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional sejak setahun yang lalu,” katanya pada majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin sempena genap setahun beliau menerajui kerajaan.

Turut hadir ialah barisan Kabinet termasuk Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin serta ketua-ketua jabatan kerajaan.

Hari ini juga menandakan ulang tahun pertama kerajaan PN dan Muhyiddin berkata sepanjang setahun itu, negara berdepan dengan pandemik COVID-19, satu krisis kesihatan dan ekonomi di peringkat global yang tidak pernah berlaku sejak tahun 1930-an.

Beliau berkata negara tidak terkecuali daripada menerima kesan COVID-19 dengan lebih 300,000 orang telah dijangkiti virus tersebut dan ekonomi negara menguncup sebanyak 5.6 peratus pada 2020.

“Saya memberi jaminan dan komitmen 100 peratus bahawa Kerajaan Perikatan Nasional akan terus Prihatin Rakyat,” katanya.

Muhyiddin turut mengajak orang ramai supaya mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19 sebagai usaha bersama dalam memerangi wabak berkenaan serta sebagai tanda sokongan kepada petugas barisan hadapan.

“Saya telah mengambil vaksin dos pertama dan Alhamdulillah saya sihat dan boleh bekerja seperti biasa. Vaksin ini selamat untuk saya dan insya-Allah, ia juga selamat untuk anda semua. Marilah kita sama-sama berdoa agar kita semua dilindungi daripada sebarang mudarat dan diberikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan yang berkekalan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post ‘Rakyat tidak boleh tunggu lama-lama. Sehari lewat mungkin dapur mereka tidak berasap’- Muhyiddin
Next post Aeroangkasa, pertanian pintar antara industri berpotensi tinggi RMK12
Ubah saiz-+=