Polis tumpaskan Geng Wan Tocang
AYER KEROH 28 Feb – Polis menumpaskan kumpulan yang aktif melakukan kegiatan pecah kenderaan digelar Geng Wan Tocang selepas menahan empat lelaki termasuk dalang utamanya, semalam.
Empat suspek lelaki berusia antara 27 hingga 31 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di Taman Seri Duyong dan Bukit Sebukor bermula pada jam 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata pihaknya menerima laporan daripada pemilik kereta Perodua Myvi diparkir di hadapan rumahnya di Taman Permatang Pasir Perdana yang memaklumkan kehilangan wang tunai berjumlah RM1,400 pada jam 8 pagi Selasa lalu.
Katanya, berikutan itu pihaknya mengesan seorang suspek dipercayai dalang utama berusia 30 tahun yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Taman Seri Duyong pada jam 12.30 tengah malam.
“Suspek berkenaan cuba melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan ketika proses penahanan itu.
“Hasil pemeriksaan dalam beg silang warna hitam yang dipakai suspek menemui sebotol minyak wangi, sebuah telefon bimbit dan dua resit jual beli telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis menahan tiga lagi lelaki masing-masing berusia 27, 30 dan 31 tahun di sebuah bilik sewa di Bukit Sebukor pada jam 2.15 pagi.
“Siasatan lanjut mendapati semua suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah kenderaan sejak Oktober tahun lalu di sekitar Banda Hilir, Kandang dan Bukit Baru.
“Kumpulan berkenaan menyasarkan kereta yang tidak berkunci dan melakukan jenayah itu bagi membeli perbelanjaan harian serta membeli dadah,” katanya.
Afzanizar berkata, penahanan semua suspek menyelesaikan lapan kes pecah kenderaan.
Jelasnya, keempat-empat suspek direman empat hari bermula semalam hingga Selasa ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.