Sorting by

×

Muhyiddin cekal tadbir negara menghadapi COVID-19

Masa Membaca:3 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Tempoh setahun ini semestinya masa paling mencabar dalam kerjaya politik Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengambil alih pucuk kepimpinan ketika negara menghadapi pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan dan memastikan tiada siapa terpinggir.

Muhyiddin, yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN), telah menyediakan pakej bantuan dan pakej rangsangan ekonomi berjumlah hingga RM300 bilion untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat semasa berdepan dengan situasi yang luar biasa ini termasuk memperoleh vaksin COVID-19.

Esok genap setahun Muhyiddin, 73, mengemudi kerajaan PN mentadbir Malaysia menghadapi segala cabaran serta kemungkinan susulan pandemik COVID-19 dan terus berusaha gigih memastikan segala yang direncana berjaya dilaksanakan.

“Insya-Allah pada 1 Mac ini genaplah setahun pentadbiran Perikatan Nasional yang saya pimpin sebagai perdana menteri sesuatu perkara yang saya tidak duga, tetapi ini semua takdir oleh Allah SWT,” kata beliau dalam wawancara khas bersama Bernama dan beberapa organisasi media sempena setahun beliau memegang jawatan nombor satu negara di kediamannya di Bukit Damansara, di sini.

Wawancara khas itu turut disiarkan menerusi siaran televisyen berita perdana di Bernama TV dan stesen televisyen.

Mengambil alih kepimpinan negara tatkala dunia dan negara berhadapan keadaan sukar berikutan wabak yang boleh membawa maut, Muhyiddin memegang jawatan perdana menteri dalam situasi luar biasa berikutan krisis politik, tekad menunaikan amanah dan menggalas tanggungjawab demi rakyat dan negara.

“Jadi, saya buat yang terbaik untuk negara. Pasal saya tahu, saya ada amanah, yang mesti saya tunaikan amanah… walaupun saya tidak dipilih dalam pilihan raya macam biasa, orang dapat mandat tapi (ekoran) krisis yang berlaku, saya dilantik (sebagai perdana menteri),” katanya.

Menyedari cabaran getir yang dihadapi, Muhyiddin mengambil tindakan segera dan pendekatan berbeza daripada kerajaan-kerajaan sebelum ini, memikirkan apa yang harus dilakukan supaya nyawa rakyat Malaysia ancaman wabak COVID-19 yang amat berbahaya dan memastikan ada makanan, pekerjaan, pengurusan ekonomi, keselamatan dan ketenteraman awam serta perpaduan rakyat terus kekal.

Setahun menongkah arus dan bertungkus-lumus menguruskan wabak COVID-19 menerusi pendekatan masyarakat keseluruhan, Muhyiddin ternyata begitu tekad melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara meskipun berhadapan dengan pelbagai onak dan duri bagi merealisasikan hasrat Malaysia mencapai negara maju menjelang 2030.

“… saya akan melakukan yang terbaik. Saya mahu meninggalkan legasi bukan untuk diri sendiri (tetapi juga) untuk negara sepanjang tempoh saya berkhidmat,” katanya sambil menambah bahawa itu adalah komitmen beliau.

“… saya boleh memberitahu rakyat Malaysia bahawa saya komited untuk memikul tanggungjawab saya sebagai perdana menteri, saya akan melakukan yang terbaik. Saya akan memerangi rasuah, saya tidak akan campur tangan dalam badan kehakiman atau mahkamah. Saya akan melakukan yang terbaik untuk negara, insya-Allah,” tekad Ahli Parlimen Pagoh itu.

Dalam nada berterus terang sepanjang wawancara itu, Muhyiddin menjelaskan langkah dan tindakan yang diambil kerajaan PN bagi menguruskan wabak COVID-19 menerusi pendekatan masyarakat keseluruhan yang menghendaki semua pihak berganding bahu bersama kerajaan menangani masalah yang ada.

Menerusi jawatankuasa di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Tindakan Ekonomi dan jawatankuasa lain yang berkaitan, beliau berkata perbincangan dan mesyuarat dilakukan setiap hari bagi menguruskan isu COVID-19 dan kesannya kepada negara.

Melahirkan rasa syukur kerana pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik, beliau berkata penjawat awam komited melaksanakan tanggungjawab, keselamatan dan ketenteraman negara terkawal manakala perpaduan rakyat tidak terjejas.

Perdana menteri turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kekal bersatu dan bertekad untuk bersama-sama mendepani ancaman COVID-19.

Menelusuri setahun kepimpinan Muhyiddin, antara tindakan segera dan luar biasa yang dilakukan kerajaan PN adalah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac 2020 diikuti dengan beberapa peringkat PKP bagi menyeimbangkan kehidupan dan kelangsungan hidup rakyat dan setiap sektor yang terkesan dengan COVID-19.

Jangkitan COVID-19 mula melanda negara pada 25 Januari 2020 dengan gelombang pertama melibatkan kes-kes import manakala gelombang kedua pada akhir Februari 2020.

Kes jangkitan COVID-19 memasuki gelombang ketiga pada pertengahan September 2020 sehingga kini yang menyaksikan kes melonjak naik dari puluhan ke ribuan kes sehingga pernah mencatat 5,725 kes, angka tertinggi pada 29 Januari.

Dalam wawancara selama hampir sejam itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu ditanya pelbagai soalan berhubung kerajaan dan tadbir urus negara, pengurusan COVID-19, pakej rangsangan ekonomi dan inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat, penerimaan rakyat dan pencapaian kerajaan PN, Proklamasi Darurat, dasar luar Malaysia serta harapan beliau.

Turut diajukan adalah mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang menunjukkan kesungguhan kerajaan PN dalam usahanya menjamin kesejahteraan rakyat.

Muhyiddin menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin itu bersama-sama petugas barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

889
Kongsi :
Previous post Dua ahli Parlimen PKR serah akuan bersumpah sokong kerajaan PN
Next post Suami isteri bunuh anak, dihukum gantung sampai mati
Ubah saiz-+=