Urusan bawa pulang empat rakyat Malaysia dari Indonesia disempurnakan
Johor Bahru: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dengan kerjasama Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam ( DMDI) membawa pulang empat rakyat Malaysia termasuk dua nelayan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Depoh Imigrasi Bengkalis, Kepulauan Riau hari ini.
Keempat-empat lelaki itu tiba di Terminal Feri Antarabangsa Johor Bahru di Stulang Laut, di sini pada jam 1 tengah hari tadi selepas menaiki feri dari Batam, Indonesia pada jam 10 pagi waktu Indonesia.
Nelayan terbabit, Md Roslan Kadir, 43, dan Faizal Jailani, 38; remaja, Mohd Faizul Hakimi, 21, dan kanak-kanak Ahmad Radhi Abdullah,11, menjalani ujian calitan COVID-19 sebaik tiba di terminal berkenaan.
Kedua-dua nelayan terbabit hanyut ke Lechah, Pulau Rupat dekat Bengkalis selepas enjin motor sangkut rosak ketika menangkap ikan di perairan Melaka pada 16 Februari lalu sebelum ditemukan penduduk Lechah terapung di atas perahu yang terbalik dipukul ombak besar di perairan Pulau Rupat pada jam 8 pagi 18 Februari lalu.
Urusan membawa pulang mereka dan segala kos dibiayai Nor Azman yang bekerjasama dengan Sekretariat DMDI yang beribu pejabat di Ayer Keroh, Melaka.
Selepas menjalani ujian berkenaan mereka dibawa pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke sebuah hotel di bandar raya ini untuk menjalani kuarantin 10 hari dan tidak dibenar untuk ditemu bual wartawan Melaka Hari Ini.
Nor Azman berkata, beliau bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan rakyat terbabit pulang ke negara ini dan sanggup mengeluarkan kos kira-kira RM20,000 bagi memastikan mereka kembali ke tanah air.
Bagaimanapun mereka sempat melambaikan tangan kepada Nor Azman sejurus sebelum dibawa masuk ke dalam hotel berkenaan.
“Alhamdulillah,mereka selamat kembali ke tanah air dan saya ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kerajaan Indonesia, Konsulat Malaysia di Pekan Baru, Riau dan Sekretariat DMDI kerana membantu usaha itu,” katanya di hotel berkenaan.
Mohd Faizul ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana tinggal lebih masa pada November lalu manakala Ahmad Radhi dibawa bapanya, Junaidi Tamam, 57, dari Kampung Pasir, Tampoi, di sini, pulang ke kampungnya di Tanjung Balai, Karimun Indonesia pada Februari tahun lalu.
Junaidi berkata, beliau balik ke Kampung Pasir tanpa Ahmad Radhi yang terpaksa ditinggalkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
“Saya berterima kasih kepada YB Nor Azman yang sudi membantu membawa anak saya pulang selepas pihak Imigrasi Indonesia menawarkan untuk menghantar pulang anak saya bersama sama tiga yang lain,” katanya di sini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.