Sorting by

×

Tiga hari, dua tan sampah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PENGKALAN RAMA 28 Feb. – Secara purata kira-kira dua tan sampah pelbagai jenis dikutip di sepanjang Sungai Melaka dalam masa tiga hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, jumlah itu hasil daripada kerja-kerja pembersihan yang dilakukan PPSM setiap hari.

“Kita perlu wujudkan sikap menghargai sungai, bila sungai bersih kesedaran itu akan ada dalam kalangan masyarakat.

“Sikap ini kita nak tanamkan dalam masyarakat kita, komuniti yang ada di sepanjang sungai juga perlu mainkan peranan supaya tidak ada tindakan buang sampah dalam parit seterusnya ke sungai,” katanya.

KAKITANGAN PPSPM semasa kerja-kerja pembersihan Sungai Melaka.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Gotong-Royong Bulanan PPSPM di River Information Centre (RIC), hari ini.

Jelasnya, pada program itu seramai 106 kakitangan PPSM ditugaskan membersihkan pesisiran Sungai Melaka sejauh 11 kilometer.

“Kita mulakan kerja pembersihan dari Muara Sungai Melaka di Banda Hilir hingga Batu Hampar Peringgit.

“Ini juga salah satu medium meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan PPSPM sekali gus memupuk sikap tanggungjawab antara satu sama lain,” katanya lagi.

Murad turut berpesan supaya orang ramai tidak mengambil mudah dengan membuang sampah ke dalam parit berhampiran rumah mereka.

“Memang bagus sistem pembentungan di kawasan perumahan dah ada, cumanya bila sampah terlalu banyak ia akan berkumpul.

“Dan bila hujan lebat sampah tersebut akan hanyut ke sungai dan menyebabkan sungai ini dipenuhi sampah sarap,” katanya.

Views:

1000
Kongsi :
Previous post Ketua Menteri Melaka lawat 16 pusat pelancongan di Jonker Street
Next post Polis nafi punca kemalangan akibat anggota trafik iring orang kenamaan
Ubah saiz-+=