KLUFC juara sulung Piala Prihatin Menteri Wilayah Persekutuan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Kuala Lumpur United FC (KLUFC) meraih kejuaraan sulung Piala Prihatin Menteri Wilayah Persekutuan selepas menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Pemain berpengalaman Indra Putra Mahayuddin mengesahkan kejuaraan selepas menyempurnakan sepakan keempat tuan rumah, tatkala penjaga gol KLUFC Kevin Ray Mendoza Hensen menidakkan sepakan pemain import lawan Manuel Anton Konrad sebelum Oliver Buff gagal menyumbat gol buat pasukannya.

PEMAIN berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin jaringkan gol kemenangan dalam penentuan sepakan penalti. Foto kredit-Twitter @klunitedfc.

 

Pada aksi dikenali sebagai ‘derby’ Lembah Klang itu, KLUFC di bawah bimbingan ketua jurulatih Bojan Hodak memiliki dua peluang keemasan pada awal permainan namun Dominique da Sylva dalam kedudukan satu-lawan-satu gagal menewaskan penjaga gol Selangor FC Khairulazhan Mohd Khalid pada minit ke-15 dan 17.

Sementara itu, skuad Gergasi Merah yang dilihat lebih menguasai permainan dengan beberapa gerakan menarik bagaimanapun buntu apabila penjaring terbanyak Liga Super musim lepas Ifedayo Olusegun gagal menyempurnakan tandukan pada minit ke-14 dan 35.

Babak kedua perlawanan menyaksikan KLUFC menguasai bola apabila tampil lebih berdisiplin dengan melancarkan beberapa percubaan berbahaya berbanding Selangor FC yang bergelut selepas waktu rehat.

KLUFC hampir meraih kemenangan di penghujung permainan namun Indra Putra sedikit lewat untuk menampan hantaran lintang rakan sepasukan pada minit ke-89 sekali gus pemenang terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti.

Pada perlawanan malam ini, kelibat penyerang baharu Selangor FC yang juga pemain kebangsaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi hanya bertahan lapan minit sebelum dikeluarkan kerana mengalami kecederaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1183
Kongsi :
Previous post Pelan pemerkasaan kepimpinan komuniti rukun tetangga 2021-2030 dilancarkan
Next post Ketua Menteri Melaka lawat 16 pusat pelancongan di Jonker Street
Ubah saiz-+=