Sorting by

×

Pelan pemerkasaan kepimpinan komuniti rukun tetangga 2021-2030 dilancarkan

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 bagi memperkasa peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di peringkat akar umbi menerusi kerjasama kementerian dan agensi berkaitan.

Di bawah pelan itu, empat Agenda Kerja KRT diperkenalkan iaitu Agenda Kerja KRT Selamat, Agenda Kerja KRT Sihat, Agenda Kerja KRT Bersih dan Indah serta Agenda Kerja KRT Sejahtera yang bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan inisiatif Rukun Tetangga.

Pelan itu satu daripada strategi yang telah digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030.

Menjelaskan lanjut empat Agenda Kerja KRT itu, Muhyiddin berkata Agenda Kerja KRT Selamat akan digerakkan melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang berperanan untuk meronda dan mengawal mana-mana premis atau lokasi di KRT dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata Agenda Kerja KRT Sihat pula memberi penekanan kepada usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam komuniti hasil kolaborasi bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui program di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat.

“Ketiga, Agenda Kerja KRT Bersih dan Indah menumpukan kepada program pembersihan dan pengindahan di kawasan komuniti dengan sokongan Kementerian Pembangunan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah pelaksanaan Program Local Agenda 21.

“Keempat, Agenda Kerja KRT Sejahtera untuk mengenal pasti kumpulan rentan seperti ibu tunggal, golongan orang kelainan upaya, warga emas dan golongan kurang berkemampuan dan memberi bantuan melalui pelaksanaan inisiatif seperti Projek Ekonomi Rukun Tetangga dan Program Sayangi Komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 dan Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi laman sesawang Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Facebook KPN @PerpaduanNegara, hari ini.

Muhyiddin berkata rukun tetangga yang ditubuhkan pada 1975 adalah komponen penting komuniti dalam memastikan hasrat perpaduan negara dapat diperkukuhkan dan peranannya perlu sentiasa didukung sebagai ejen serta penggerak usaha untuk menyatupadukan rakyat.

Menurutnya, pada masa ini terdapat 8,274 KRT di seluruh negara dengan jumlah keahlian seramai 248,220 orang dan turut menyambut baik peningkatan penubuhan KRT itu kerana ia adalah petunjuk baik yang membuktikan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan peranan rukun tetangga.

Perdana menteri berkata cabaran yang dihadapi sejak pandemik COVID-19 melanda dunia lebih setahun lepas telah menyerlahkan kepentingan rukun tetangga dalam kalangan masyarakat dengan semua pihak menunjukkan semangat kekitaan yang tinggi dan saling membantu dalam mendukung segala usaha kerajaan memerangi wabak itu, seiring dengan semangat dan amalan ‘Kita Jaga Kita’.

“Saya berharap semangat kesukarelawanan ini dapat terus diperkasakan melalui penglibatan bersama rukun tetangga, persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti serta generasi muda dalam aktiviti kemasyarakatan supaya ia dapat dibudayakan dalam komuniti kita.

“Saya ingin mengajak saudara dan saudari untuk bersama-sama mengenal pasti keperluan komuniti dan menangani isu-isu sosial di kawasan setempat untuk melahirkan sebuah komuniti yang sejahtera.

“Marilah kita berganding bahu dan menggembleng tenaga dalam menjayakan usaha murni ini supaya negara kita dapat merealisasikan agenda perpaduan nasional,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post Mak andak memasak, mak cik mengemas, mak su berniaga
Next post KLUFC juara sulung Piala Prihatin Menteri Wilayah Persekutuan
Ubah saiz-+=