Penyu naik ke pantai meningkat sepanjang PKP
MASJID TANAH 22 Jun – Sebanyak 182 pendaratan penyu dicatatkan di negeri ini dari Januari hingga Mei lalu, berbanding hanya 106 dalam tempoh sama tahun lalu.
Ia membuktikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan mulai 18 Mac lalu berjaya mengekang aktiviti manusia mengganggu penyu naik ke pantai untuk bertelur.
Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Nawar Abdul Karim berkata, data dicatatkan jabatan itu dan diuruskan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Padang Kemunting di sini mendapati sepanjang PKP hingga kini tidak wujud banyak gangguan daripada orang ramai terhadap aktiviti penyu naik ke pantai.
Selain itu, PKP juga mengurangkan aktiviti pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri telur penyu sama ada untuk kegunaan sendiri atau komersial.
“Alhamdulillah, aktiviti mengganggu penyu naik ke pantai untuk bertelur berkurangan terutama di 13 lokasi penting pendaratan penyu di pantai Melaka barat,” katanya selepas melepaskan anak penyu di pantai berhampiran PKPP hari ini.
Sebanyak 264 anak penyu yang baru menetas selepas diram selama 60 hari di pusat pengeraman PKPP dilepaskan ke laut.
Hadir sama, Ketua PKPP, Mastura Daud.
Nawar berkata, hanya empat pendaratan penyu dicatatkan pada Januari lalu sebelum meningkat kepada 12 pada Februari dan 28 pada Mac, diikuti 49 (April) dan 82 (Mei) sekali gus membuktikan PKP dan PKPB membantu mengurangkan kegiatan mencuri telur penyu.
Haiwan marin itu, terutama penyu karah ujarnya sering naik ke pantai di negeri ini untuk bertelur antara April hingga Oktober.
Ia mendorong Jabatan Perikanan menggaji petugas kontrak untuk mengutip telur penyu sebelum diserahkan kepada PKPP, katanya.
Setakat ini, lapan anggota komuniti di kawasan pantai diberikan upah bulanan sebagai renjer manakala empat lagi diberikan upah berdasarkan bilangan telur penyu yang dikumpulkan sebelum diserahkan kepada pusat berkenaan.
Antara pantai di Melaka barat yang menjadi tumpuan penyu mendarat ialah Kampung Baru, Kampung Tengah, Tanjung Serai, Telok Gong, Balik Batu, Telok Belanga, Meriam Patah, Pasir Gembur, Pengkalan Balak, Kem Terendak, Sungai Tuang, Tanjung Dahan dan Padang Kemunting.
Berdasarkan rekod jabatan itu, jelasnya, pantai sepanjang 20 kilometer dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi adalah kawasan pendaratan penyu karah (hawksbill) iaitu spesis penyu yang kedua terbesar saiznya selepas penyu lipas tetapi lebih kecil berbanding penyu agar dan penyu belimbing.
Purata antara 400 hingga 500 sarang atau pendaratan penyu karah dicatatkan di negeri ini setahun dengan Pantai Padang Kemunting mencatatkan lebih 100 pendaratan, iaitu tertinggi berbanding kawasan lain.
Pendaratan penyu karah di Pantai Padang Kemunting menyumbang 25 hingga 30 peratus daripada keseluruhan pendaratan di Melaka.
Sebanyak 4,595 sarang telur penyu yang dicatatkan di Melaka dari 2009 hingga 2018 berpotensi menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama khusus untuk pencinta haiwan berkenaan.
Dalam tempoh itu juga, sebanyak 545,117 telur penyu dijumpai di Padang Kemunting, Pasir Gembur, Balik Batu, Kem Terendak, Tanjung Bidara, Teluk Belanga, Kuala Linggi, Meriam Patah, Tanjung Serai, Tanjung Dahan, Pengkalan Balak dan Pulau Upeh.
Sebanyak 320,679 anak penyu dilepaskan ke laut dalam tempoh berkenaan, sekali gus menjadikan pantai negeri ini sebagai lokasi pendaratan penyu karah tertinggi di Semenanjung.