Ibu bapa boleh rentas negeri untuk hantar anak ke sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Ibu bapa yang perlu merentas negeri atau daerah bagi menghantar anak masing-masing ke sekolah bagi sesi persekolahan 1 Mac depan dibenarkan berbuat demikian.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Sidang Khas MKN yang dibincangkan semalam bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Sehubungan itu, ibu bapa yang hantar anak mereka tidak perlu lagi mendapatkan surat kebenaran pihak polis, namun perlu menunjukkan surat dikeluarkan pihak sekolah ketika melalui sekatan jalan raya.

“Sebagai contoh untuk memasuki asrama luar daerah dan negeri, di sekatan jalan hanya perlu tunjukkan surat kemasukan asrama tersebut.

“Pihak guru boleh keluarkan surat kebenaran boleh rentas daerah untuk masuk asrama tersebut,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, hari ini.

Jelasnya, beliau juga sudah berbincang dengan pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memaklumkan perkara itu kepada pihak polis seluruh daerah di seluruh negara.

Sebelum ini KPM menetapkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac ini untuk murid sekolah rendah iaitu prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 manakala murid Tahun 3 hingga Tahun 6 pula bermula pada 8 Mac.

Pelajar sekolah menengah pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu manakala pelajar sekolah menengah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 5 April.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post MEDAC laksanakan inisiatif bantu tingkatkan pendapatan koperasi
Next post Pemuzik jalanan dibenar teruskan aktiviti
Ubah saiz-+=