Sorting by

×

MEDAC laksanakan inisiatif bantu tingkatkan pendapatan koperasi

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

DUYONG 25 Feb. – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu koperasi menghadapi kelembapan operasi sekali gus menjana pendapatan tambahan susulan pandemik COVID-19.

Timbalan Menterinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, antara inisiatif ditawarkan termasuk memberi kelonggaran kepada koperasi yang pendapatannya terjejas selain membuat penjadualan semula bayaran balik pembiayaan Tabung Modal Pusingan – SKM (TMP-SKM) selepas tamat tempoh moratorium pada 30 September 2020.

Katanya, koperasi juga turut diberi peluang untuk mendapat pembiayaan TMP-SKM sehingga RM100,000 tanpa cagaran dalam tempoh enam bulan.

Mas Ermieyati.

“Jadi bagi memastikan koperasi ini melaksanakan inisiatif yang ditawarkan, MEDAC menjalankan lawatan ke beberapa koperasi bagi melihat aktiviti perniagaan yang dijalankan,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja Explorasi di tiga koperasi di Jasin dan Melaka Tengah hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah SKM Melaka, Mohd Firdaus Shaari.

Mas Ermieyati berkata SKM memperuntukkan lebih RM57,000 menerusi pelbagai program termasuk Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) sebagai suntikan modal bagi semua koperasi berkenaan memperbaiki perniagaan masing-masing.

“Dalam lawatan pertama beliau menyalurkan bantuan TBKK bernilai RM30,000 kepada Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad yang menjalankan perniagaan melalui penternakan dan pertanian di Asahan, Jasin.

“Lawatan kedua di Koperasi Komong Jasin Berhad, sebanyak 25,000 diperuntukkan menerusi tabung sama bagi membantu koperasi berkenaan membaik pulih perniagaan akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.

“Bagi Koperasi Ibu Bistari Melaka Berhad yang menjalankan perniagaan kecantikan dan spa, SKM memperuntukkan RM2,000 bagi bantuan dari segi rundingan dan perancangan dokumentasi bagi menggalakkan kehadiran pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus berkata tahun lalu sebanyak empat akaun pembiayaan TMP-SKM telah diluluskan kepada koperasi di negeri Melaka dengan jumlah pembiayaan RM600,000.

Mohd Firdaus berkata, tahun ini jumlah pembiayaan TMP-SKM diperuntukkan kepada koperasi di negeri Melaka adalah sebanyak RM4.3 Juta.

“Bagi skim Bantuan Pembangunan Perniagaan Koperasi, tahun lalu sebanyak lima koperasi mendapat kelulusan dengan penyaluran dana berjumlah RM277,521.

“Tahun ini, jumlah bantuan yang ditawarkan kepada koperasi di Negeri Melaka adalah sebanyak RM270,000,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

516
Kongsi :
Previous post Menteri kesihatan, KSN terima suntikan vaksin COVID-19 hari ini
Next post Ibu bapa boleh rentas negeri untuk hantar anak ke sekolah
Ubah saiz-+=