Sorting by

×

‘Hakisan makin merebak, jaga keselamatan kenderaan anda’ – MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PANTAI KUNDOR 25 Feb. – Jangan letak kenderaan terlalu hampir dengan pantai kerana hakisan di Pantai Puteri semakin melebar.

Peringatan itu diberikan pegawai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kepada pemilik kenderaan bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti kenderaan terjerlus ke dalam pasir yang terhakis teruk di pantai berkenaan.

Pegawai MBMB Kawasan Pantai Kundor, Mohd Fais Md Tahir berkata, sehubungan itu juga MBMB hari ini memasang pita keselamatan di kawasan terjejas teruk bagi menghalang pemilik kenderaan memakir kenderaan terlalu hampir dengan pantai.

Pegawai MBMB memasang pita keselamatan MBMB di kawasan mengalami hakisan teruk di Pantai Puteri, Tanjung Kling.

“Hakisan pantai kembali merebak sejak beberapa hari lalu selepas berkurangan sejak awal Disember lalu dan ia mengancam kenderaan jika dipakir terlalu hampir dengan pantai.

“Kita nasihatkan pengunjung memakir kenderaan sekurang-kurangnya dua meter dari kawasan hakisan untuk keselamatan,” katanya di pantai berkenaan hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri segera melaksanakan kerja pembaikan pantai yang mengalami hakisan teruk.

“Saya difahamkan JPS sudah ada peruntukan untuk membina tembok penahan ombak bagi mengatasi masalah hakisan pantai di kawasan ini dan kawasan lain,” katanya.

Pengarah JPS negeri, Abdul Hakim Hamzah berkata, projek pembinaan lima tembok penahan ombak atau ‘rock revetment’ bernilai RM3 juta bagi mengatasi hakisan pantai akan dimulakan hujung bulan ini.

Ia akan dilaksanakan di pantai peranginan Pantai Puteri dan empat kampung dalam daerah Alor Gajah, iaitu pantai Kampung Kuala Linggi, Kampung Tengah, Kampung Hilir dan Kampung Telok Gong.

“Kerja itu membabitkan pembinaan ‘rock revetment’ atau tembok penahan ombak yang menggunakan kaedah batu lapis lindung dan bukannya benteng pemecah ombak yang pernah dibina di beberapa pantai lain yang mengalami hakisan sebelum ini.

“Dijangka kerja pembinaan dimulakan hujung bulan ini membabitkan tempoh selama sebulan atau lebih,” katanya ketika dihubungi.

Kelima -lima pantai berkenaan mengalami hakisan serius sejak Julai tahun lalu berikutan angin dari arah selatan menyebabkan ombak menghakis pantai dan mengancam pantai peranginan dan kampung
nelayan.

Di Pantai Puteri contohnya, hakisan mengancam Menara Tinjau Angkatan Pertahanan Awam (APM) manakala di pantai Kampung Kuala Linggi, ia mengancam rumah nelayan.

 

#hakisanpantai #AbdulHakim  #tembokpenahanombak

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1290
Kongsi :
Previous post Kerajaan luluskan permohonan pelarasan gred pegawai perubatan, pergigian kontrak
Next post Murtad: Polis Johor masih kesan suspek- Ayob Khan
Ubah saiz-+=