Muhyiddin selamat terima suntikan vaksin COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PUTRAJAYA 24 Feb. – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selamat menerima suntikan vaksin COVID-19 sekali gus menjadi individu pertama negara menerima vaksin berkenaan.

Suntikan pertama itu diberikan Ketua Jururawat Kesihatan, Lina Ibrahim yang telah bertugas selama 23 tahun dalam bidang perubatan di negara ini tepat jam 2.45 petang tadi di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 di sini.

Sejurus suntikan dibuat di bahu kiri Perdana Menteri, beliau dibawa berehat selama 30 minit yang menjadi prosedur biasa untuk melihat sekiranya terdapat sebarang reaksi selepas pemberian vaksin berkenaan.

Muhyiddin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 di Malaysia.

Terdahulu, Muhyiddin dibawa mendengar taklimat Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula secara rasmi di Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula yang bermula dari April hingga Ogos akan membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang.

Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 pula akan diberikan kepada penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin COVID-19 pada hari pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Program itu yang sepatutnya dijadualkan bermula 26 Februari dipercepatkan ke hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post Penjual tebu didakwa 64 tuduhan sumbang mahram dan rogol
Next post Melaka jadikan dewan serbaguna sebagai PPV
Ubah saiz-+=