Undur kereta sampai terjunam dalam sungai, penyeludup ditahan
PASIR MAS 24 Feb. – Cubaan seorang penyeludup untuk menyeludup 834 kilogram (kg) minyak masak, hampir meragut nyawanya sendiri dalam cubaan menyelamatkan diri apabila kereta yang dipandunya terjunam ke dalam sungai berdekatan Kampung Slow Machang di sini, petang semalam.
Difahamkan, lelaki berusia 28 tahun terbabit cuba melarikan diri secara mengundurkan kereta jenis Proton Saga, tetapi gagal mengawal kenderaan sebelum terjunam ke dalam sungai sedalam kira-kira dua meter.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pasir Mas Suhaimi Abas berkata, kejadian terbabit berlaku pada jam 2.30 petang ketika pihaknya bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, menjalankan Op Benteng di sekitar Pasir Mas.
Beliau berkata berdasarkan maklumat awam dan risikan, pasukan telah menahan sebuah kenderaan jenis Proton Saga bagi tujuan menjalankan pemeriksaan.
“Ketika cuba diperiksa pemandu kenderaan bertindak cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan yang dipandunya, mengakibatkan kenderaan tersebut telah terjatuh ke dalam sungai yang berada di belakangnya.
“Lelaki itu bagaimanapun terselamat sebelum ditahan. Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan lebih kurang 834kg minyak masak di dalam kenderaan tersebut yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Suhaimi berkata nilai rampasan keseluruhan dalam operasi yang dijalankan semalam adalah sebanyak RM6,085 melibatkan minyak masak paket satu kilogram dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.