Bekalan air Melaka mampu bertahan sehingga September

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 23 Feb. – Melaka tidak akan melakukan catuan air dalam masa terdekat memandangkan bekalan air di semua empangan di negeri ini masih berada pada paras mencukupi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, bekalan air yang ada kini dijangka mampu bertahan sehingga September depan meskipun negara sedang berdepan cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga pertengahan April depan.

Katanya, berdasarkan data paras empangan yang dikeluarkan setakat 23 Februari, Empangan Durian Tunggal merekodkan kapasiti 24,270 juta liter air atau 77.9 peratus, manakala Empangan Jus, Jasin, berkapasiti 37,310 juta liter air atau 86.3 peratus.

SULAIMAN…Melaka tidak akan melakukan catuan air dalam masa terdekat kerana bekalan air di semua empangan di negeri berada pada paras mencukupi.

“Empangan Asahan iaitu empangan terkecil kita masih ada 100 peratus air di dalamnya bersamaan dengan 705 juta liter air.

“Jadi, Insya-Allah tiada catuan air akan berlaku kerana jika masih tiada hujan sekali pun, kita masih boleh bertahan sehingga September depan.

“Cuma, saya minta seluruh rakyat negeri ini agar terus berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar dilimpahkan rezeki hujan supaya memenuhi semua empangan dan sungai-sungai kita bagi memastikan catuan air seperti dahulu tidak lagi berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman memaklumkan kerajaan negeri telah merangka pelbagai perancangan untuk mengatasi masalah air di negeri ini termasuklah projek ‘Water Basin’ dan ‘Coastal Reservoir’.

Selain itu, ujarnya, projek yang sudah mendapat kelulusan seperti pengepaman air Sungai Kesang ke Tasik Biru yang bernilai RM150 juta dan projek Empangan Sungai Jernih juga diyakini dapat menyediakan bekalan air mencukupi untuk rakyat negeri ini pada masa akan datang.

Bagaimanapun, beliau menzahirkan harapan agar sungai-sungai di Melaka kekal terpelihara dan tidak dirosakkan dengan sebarang bentuk pencemaran memandangkan ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada masalah air seperti yang berlaku di Selangor.

“Melalui Badan Kawal Selia Air (BKSA) saya dimaklumkan kita turut melepaskan air dari Empangan Jus untuk disalurkan ke Empangan Durian Tunggal melalui sungai-sungai yang ada.

“Jadi, kita minta sangat agar pengusaha-pengusaha terutamanya petani dan kilang-kilang agar tidak melepaskan sisa atau efluen ke sungai-sungai yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran. Saya minta, sampai bila-bila janganlah buat perkara seperti ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1253
Kongsi :
Previous post Larangan rentas daerah di Melaka kekal
Next post Melaka terima bekalan vaksin fasa pertama esok
Ubah saiz-+=