Anak pakcik jual buah potong dah jawab
AYER KEROH 23 Feb. – Selepas kisah seorang lelaki penjual buah potong di sebuah stesen minyak di Masjid Tanah, tular Jumaat hari lalu, seorang gadis dipercayai anaknya tampil menjelaskan situasi sebenar.
Menggunakan nama Nurul Amierah Zaini pada akaun Facebook, dia mengakui video berdurasi 3 minit 39 saat yang ditularkan pemilik akaun FB Alina Farahin terbabit 19 Februari lalu adalah bapanya.
Berdasarkan komennya pada video berkenaan, Nurul Amierah berterima kasih kepada semua pelanggan yang telah membeli buah potong dijual bapanya itu sebelum menjelaskan situasi sebenar termasuk mengakui ‘sakit telinga’ mendengar tanggapan sesetengah individu.
“Actually (sebenarnya) pakcik ini adalah ayah saya. Kami adik beradik jauh. Saya di Kuala Lumpur dan adik saya di Penang (Pulau Pinang) jadi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni dah lama tak balik Melaka.
“Last (kali terakhir) jumpa tahun lepas masa kerajaan umum boleh rentas negeri. Dah berapa bulan tak jumpa ayah saya tapi saya selalu video call, telefon dan Whatsapp tanya khabar,”tulisnya pada ruangan komen status berkenaan.
Menurutnya, mereka adik beradik sememangnya tidak membenarkan ayahnya bekerja atas faktor usia dan kesihatan namun bapanya tetap berkeras mahu berkerja dengan alasan bosan duduk di rumah.
“(Katanya) dengan meniaga dapat isi masa lapang walaupun tiap bulan (ada) bagi duit belanja tapi kehendak ayah untuk isi masa lapang.
“Esok (selepas ini) saya dah boleh rentas negeri untuk jumpa ayah dan ibu, saya bawa balik ke Kuala Lumpur untuk pernikahan saya dan nasihat(kannya) supaya rehat dari meniaga dan fokus melakukan ibadat sahaja.
“Kami dah sakit telinga dengar orang mengata yang kami (sebagai) anak sanggup biar ayah meniaga dalam usia begini.
“Alhamdulilah, berkat doa ibu bapa saya dah tamat belajar dan kerja bagus dan sudah ada rumah jadi boleh pujuk ayah dan ibu tinggal bersama,” katanya.
Menurut Nurul Amierah, mereka adik beradik sentiasa mengambil berat mengenai bapanya itu dan sudah puas menasihatinya supaya tidak bekerja namun gagal kerana sudah menjadi sikap bapanya sejak muda untuk sentiasa bekerja.
“Apa pun terima kasih atas doa kalian semua untuk kesihatan ayah saya dan saya doa agar kalian semua dipermudahkan urusan di dunia dan di akhirat.
Jumaat lalu, kisah lelaki penjual buah potong berkenaan tular sehingga mendapat lebih 39,0000 reaksi, 22,000 perkongsian dan 5,200 komen.
Rata-rata pengguna FB tersentuh melihat video berkenaan dan mendoakan peniaga terbabit sentiasa diberi kesihatan yang baik dan rezeki yang berpanjangan.
Berdasarkan pemerhatian di ruangan komen, Nurul Amierah tidak memarahi Alina Farahin kerana berkongsi video berkenaan malah berterima kasih kerana sikap positifnya yang membantu orang tua.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.