Melaka rekod 331 kes pembakaran terbuka dalam tempoh dua bulan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 22 Feb. – Sebanyak 331 panggilan membabitkan pembakaran terbuka diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka sepanjang tempoh musim panas yang berlaku dari Januari hingga hari ini.

Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Obaidat Mohamad berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan 33.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 497 panggilan.

Penurunan itu, ujarnya mungkin disebabkan kurangnya aktiviti sosial dalam kalangan orang ramai selepas negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.o yang dikenakan pada 13 Januari hingga 18 Februari lalu.

“Mengikut data dari Januari lalu hingga sekarang, daerah yang paling banyak terjejas dengan pembakaran terbuka ialah Melaka Tengah iaitu membabitkan 223 kes.

“Manakala daerah Jasin dan Alor Gajah pula masing-masing merekodkan 59 dan 49 kes pembakaran terbuka,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Memandangan cuaca panas di negeri ini dijangka berlarutan sehingga pertengahan April depan, beliau menasihati orang ramai agar tidak membakar sampah atau sisa tanaman sepanjang tempoh ini.

Ujarnya, tabiat seperti membuang puntung rokok merata-rata dan berkelah serta barbeque tanpa memadam api juga perlu dielakkan memandangkan ia turut menyumbang kepada pembakaran terbuka.

“Kami percaya bahawa ada antara orang ramai melakukan aktiviti membersihkan laman rumah, taman dan kebun sepanjang tempoh berada di rumah. Namun, kita minta sangat agar elakkan membakar sisa-sisa itu memandangkan kebakaran akan lebih cepat merebak sepanjang musim kering ini.

“Ambillah iktibar daripada kejadian kebakaran di Bukit Beruang tahun lalu yang berpunca daripada kecuaian penduduk sekitar membakar sampah di tepi rumah yang mana pihak bomba terpaksa mengambil masa tiga hari untuk memadamkannya,” ujarnya.

-HABIS-
PEMBAKARAN terbuka yang berlaku di Melaka berikutan cuaca panas yang dijangka berlaku sehingga pertengahan April.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1019
Kongsi :
Previous post PKRCS diwujudkan di negeri ini tampung pekerja positif COVID-19
Next post Kompleks Niaga Limbongan berwajah baharu
Ubah saiz-+=