PKRCS diwujudkan di negeri ini tampung pekerja positif COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER MOLEK 22 Feb – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) diwujudkan di negeri ini bagi menempatkan pekerja yang positif COVID-19 menjalani kuarantin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memberi kebenaran PKRCS itu diwujudkan bagi menampung keselesaan pekerja menjalani kuarantin.

Katanya, menerusi mesyuarat itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan garis panduan mengenai PKRCS itu yang akan diuruskan oleh Melaka Invest.

“Dari segi rundingan bayaran, ia antara majikan dan PKRCS tersebut, namun kerajaan menetapkan harga siling maksimum RM350 sehari bagi setiap pekerja,” katanya pada sidang media di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini Hotel Kobemas tampil menjadi PKRCS pertama di negeri ini bagi menempatkan kira-kira 150 pesakit berdasarkan jumlah bilik penginapan.

“PKRCS itu dijangka beroperasi secepat mungkin bergantung kepada hasil rundingan.

“Hotel berkenaan akan menampung pekerja swasta contohnya bagi kes di negeri ini membabitkan pekerja kilang Kluster Teknologi Enam dan mereka yang positif diarahkan melakukan kuarantin.

“Bagaimanapun, jika tempat kediaman atau asrama pekerja tidak sesuai untuk menjalani kuarantin itu, majikan boleh menempatkan mereka di PKRCS tersebut dan bayarannya ditanggung majikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post Sumber air Melaka mampu bertahan lagi biarpun cuaca panas
Next post Melaka rekod 331 kes pembakaran terbuka dalam tempoh dua bulan
Ubah saiz-+=