Insiden tertukar bayi, petugas kesihatan cuai disarankan tindakan tatatertib
AYER MOLEK 22 Feb. – Kecuaian petugas kesihatan hingga menyebabkan seorang bayi lelaki tertukar dengan bayi orang lain di sebuah hospital di negeri ini, suatu perkara serius dan perlu dikenakan tatatertib.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, insiden itu bagaimanapun diselesaikan dengan baik antara pihak hospital dan kedua-dua keluarga bayi berkenaan pada Rabu lalu.
Katanya, beliau mewakili kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) memohon maaf berhubung kejadian itu dan menegaskan siasatan dalaman mengenainya telah dilakukan.
“Kes ini tidak pernah berlaku (di negeri ini) dan ia adalah kesilapan petugas, jadi saya menyarankan supaya (petugas kesihatan) dikenakan tatatertib kerana ia adalah kes yang serius,” katanya pada sidang media di Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden berkenaan yang tular di laman Facebook semalam hingga mendapat 3,300 perkongsian.
Menerusi hantaran di Facebook, seorang pemilik akaun, Nur Hafiza Md Rosli berkongsi pengalaman bayi lelaki yang dilahirkan pada 12 Februari lalu dengan seberat 3.1 kilogram tertukar dengan bayi lain sebagai pengajaran kepada orang lain.
Menurutna, dia dibenarkan pulang pada 15 Februari lalu, namun bayinya ditahan di hospital kerana jaundis.
Bagaimanapun, pada 17 Februari lalu, ketika dia datang semula ke hospital untuk menyusukan bayinya, dia terkejut bayi yang diletakkan katil bayi bukan anaknya yang dibenarkan keluar wad tengah hari, hari sama.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.