Leuze Jerman pilih Malaysia untuk bangunkan kilang pertama di ASEAN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Malaysia telah dikenalpasti sebagai lokasi pilihan syarikat dari Jerman, Leuze electronic GmbH + co. KG, untuk menubuhkan kilang pengeluaran sensor optik pertamanya di Asia Tenggara.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, Leuze membuat pengumuman rasmi pembukaan kilang baharunya di Melaka pada bulan lepas dan kini dalam fasa pembinaan yang pesat.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud dalam satu kenyataan berkata keputusan syarikat itu untuk berpindah ke Malaysia bagi pengembangan perniagaannya menyatakan bahawa ia amat yakin dengan negara ini.

MIDA telah memulakan hubungan pertama dengan Leuze pada Disember 2018 dan sejak itu ia terlibat dengan pasukan syarikat untuk memudahkan peruntukan projek berkenaan, terutamanya dalam mendapatkan kelulusan lesen yang diperlukan.

“Malaysia mempunyai ekosistem yang matang dan pelbagai bagi pembangunan pesat aplikasi sensor dalam industri elektronik.

“Pencapaian terpenting dalam aktiviti Leuze di Malaysia pastinya selari dengan hasrat kerajaan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berasaskan teknologi tinggi dan berpengetahuan luas.

“Era baharu elektronik sedang muncul di peringkat global dan MIDA berada di barisan hadapan teknologi kerana Leuze akan membawa masuk produk sensor melangkaui sempadan dan teknologi baharu ke dalam negara,” katanya.

Azman berkata kerajaan akan memastikan Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan pilihan dengan persekitaran yang menggalakkan bagi pelaburan berkualiti dan MIDA sentiasa berusaha menarik lebih banyak pelaburan baharu dalam bidang teknologi serta inovasi untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju pembuatan di Asia.

Menurut Pengarah Operasi Projek Global dan Pengurus Projek Leuze, Sebastian Raible, Melaka dipilih sebagai tapak pengeluaran baharu memandangkan ia mempunyai aliran tenaga kerja yang cemerlang di rantau ini dengan universiti yang mantap serta industri elektronik yang berkembang maju.

“Kilang baharu ini akan beroperasi sebagai Leuze Electronic Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh kumpulan itu dan akan menghasilkan sensor untuk pasaran Asia yang agak lumayan.

“Kilang ini sedang dibina di atas tapak yang merangkumi lebih 17,000 meter persegi dan bangunan pertama kilang dianggarkan siap menjelang suku pertama 2022.

“Dengan jumlah ruang lantai boleh guna di bawah 7,000 meter persegi dalam fasa pengembangan pertama, kilang ini memerlukan 150 hingga 200 pekerja,” katanya lagi.

#Leuze #kilangelektronik #sensor

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

966
Kongsi :
Previous post Usia bukan penghalang warga emas duduki SPM
Next post Halang tugas JAWI: pengurusan kes rayuan terhadap pembebasan Siti Kasim 22 Mac
Ubah saiz-+=