Nelayan lakukan anjakan paradigma berikutan projek mega KLIP
AYER LIMAU 21 Feb. – Nelayan harus berani melakukan anjakan paradigma bagi merebut peluang meningkatkan sosioekonomi berikutan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi, dekat sini.
Projek bernilai RM15 bilion itu yang dicadangkan dimulakan tahun ini harus direbut oleh nelayan sebagai landasan untuk memajukan diri sendiri dan keluarga.
Bagi Jalil Hassan, 60, peluang itu cuba direbutnya dengan membuat pelaburan RM70,000 untuk mendapatkan bot penumpang yang dilengkapi enjin lebih 100 kuasa kuda bagi membolehkannya menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk pekerja projek terbabit.
Katanya, beliau membuat bayaran ansuran bot dan enjin berkenaan selama beberapa tahun sebelum berjaya menyelesaikannya bulan lalu.
“Alhamdulillah, saya dapat membayar semua hutang itu selama beberapa tahun berkat simpanan hasil sungai dan laut.
“Saya meletakkan sasaran merebut peluang daripada projek KLIP yang bakal menjadikan Kuala Linggi pelabuhan antarabangsa yang sudah pasti memerlukan perkhidmatan bot sama ada individu atau syarikat,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina di sini hari ini.
Bagaimanapun, sementara menunggu projek berkenaan dilaksanakan, Jalil menyediakan perkhidmatan membawa pelancong menyusuri Sungai Ramuan Cina, Sungai Rembau, muara Kuala Linggi hingga ke laut di
perairan berkenaan.
Katanya, dengan kemampuan memuatkan 12 penumpang, bot berkenaan menyediakan peluang untuk pelancong menikmati tiga pakej perkhidmatan menyusuri sungai.
“Pelancong boleh menyaksikan kelip-kelip, burung, buaya dan matahari terbenam dengan pakej bernilai antara RM650 hingga RM1,000 sambil menikmati pemandangan indah paya bakau dan sungai yang lebar dan mengasyikkan,” katanya.
Jalil berkata, bagi memastikan perkhidmatan itu tidak menghadapi masalah dari aspek perundangan, beliau sudah mendapatkan Lesen Jurumudi Bot Domestik daripada Jabatan Laut, selain mendapatkan perlindungan insurans.
Projek KLIP adalah projek mega yang bakal mengubah landskap ekonomi negeri ini berikutan kemampuannya menjana ekonomi, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan asing.
Pengarah Urusan KLIP, Datuk Seri Noor Mustafa Kamal Yahya dilaporkan berkata, projek berkenaan bakal mengambil tempoh antara lima hingga lapan tahun bagi menambak laut seluas kira-kira 248 hektar sebelum dimajukan dengan pelbagai kemudahan berkaitan pelabuhan yang memberikan perkhidmatan kepada kapal antarabangsa.
Katanya, kerja menambak laut kira-kira lima batu nautika dari tanah besar akan dilaksanakan Linggi Base Sdn Bhd (LBSB), selain membina tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, limbungan fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk fasiliti himpitan kapal.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.