Doa ayah dari pagar sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BATU BERENDAM 22 Feb. – Sanggup mengambil cuti dan menunggu di luar pagar sekolah selama hampir satu jam semata-mata untuk melihat dan mendoakan anaknya dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan hati yang tenang.

Itu pengorbanan seorang bapa Amir Omar, 43, tahun yang dapat disaksikan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, di sini, hari ini.

Amir yang ditemui Melaka Hari Ini (MHI) berkata, dengan cara itu sahajalah untuk dia menunjukkan kasih sayang kepada anak sulungnya Fatin Maisara Amir, 18 bagi menghadapi peperiksaan SPM yang pertama kali berlangsung dalam suasana norma baharu.

Sewaktu menghantar anaknya ke sekolah pagi tadi, bapa kepada empat anak itu berkata, dia juga sempat membacakan potongan ayat dari surah al-Insyirah dan surah al-Rahman sebelum meniupkan pada dahi anaknya itu bagi memberi semangat untuknya menduduki peperiksaan pertama pada jam 8.15 pagi.

“Selain itu saya turut meredakan dan memaafkan segala kesilapannya selama ini. Itulah antara yang saya lakukan untuk membantu memudahkan perjalanan anak saya sepanjang tempoh peperiksaan ini.

“Saya juga sempat menasihatkan anak agar tidak terlalu tertekan sepanjang tempoh ini kerana ini hanyalah peperiksaan dunia dan sebaik-baiknya jadikan ia asbab untuk peperiksaan yang lebih besar yang akan menanti kelak,” katanya

Sementara itu, seorang lagi bapa Shanin Jaya, 45, mengakui timbul sedikit kerisauan sewaktu menghantar anaknya ke sekolah pagi tadi apabila terlihat riak wajah anaknya yang kelihatan sedikit sugul untuk menduduki SPM hari ini.

Bagaimanapun, sebagai ketua keluarga, dia mengambil pendekatan untuk memberi semangat dan nasihat kepada anaknya agar bertenang dan melakukan yang terdaya sahaja bagi meredakan tekanan kepada anak keduanya itu.

“Saya juga sempat mendoakan agar anak saya dipermudahkan urusan sepanjang tempoh peperiksaan ini.

“Sebagai ibu bapa kita memang mahukan yang terbaik, tetapi pada masa sama saya tidak mahu anak berasa terlalu stres hingga mengganggu tumpuannya nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1428
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak pesakit leukimia capai impian naik MPV meninggal dunia
Next post Nelayan lakukan anjakan paradigma berikutan projek mega KLIP
Ubah saiz-+=