Calon SPM 2020 kini lebih bersedia untuk duduki peperiksaan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 21 Feb.- Penundaan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berikutan penularan pandemik COVID-19 tahun lalu, memberi kelebihan masa buat pelajar mengulang kaji pelajaran masing-masing dan membuat persedian rapi.

Itu luahan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai, Muhammad Asyraf Mohd Zaini, 18, yang berasa lega dan yakin untuk menduduki peperiksaan besar itu esok.

Muhammad Asyraf, mengulang kaji saat akhir bagi menghadapi SPM esok

Katanya, sebaik pengumuman penangguhan peperiksaan SPM yang sepatutnya diadakan pada Oktober tahun lalu, dia bertekad untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mengulang kaji pelajaran sendiri serta mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Sebenarnya saya lebih gemar belajar bersemuka, namun disebabkan ada kekangan untuk memahami pelajaran sedara PdPR, saya lebih fokus kepada membuat ulang kaji sendiri di rumah.

“Selepas berusaha, saya hanya berserah dan akan melakukan yang terbaik dalam SPM esok,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Bagi Ahmad Salihin Azuar, 18, dari SMK Tun Tuah, dia juga bersyukur kerana mempunyai masa agak panjang untuk menelaah pelajaran selepas tarikh peperiksaan SPM ditunda.

“Saya anak sulung daripada lima beradik, jadi saya harapan keluarga untuk mengubah nasib kami sekeluarga.

“Dalam tempoh beberapa jam ini, saya masih lagi mengulang kaji pelajaran saat akhir bagi menghadapi peperiksaan kertas Bahasa Melayu esok,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rashid Khalil berkata, dia bersyukur kerana segala persiapan dan persediaan anaknya, Nur Fatiha Sakinah untuk menghadapi peperiksaan SPM dipantau guru dan warden.

Katanya, anak ketiga daripada empat beradik yang tinggal di asrama SMK Munshi Abdullah, dekat sini, pada mulanya memberitahu sebelum ini dia agak tertekan kerana tarikh peperiksaan ditunda tahun lalu.

“Namun saya dan isteri sentiasa memberi semangat kepada Nur Fatiha supaya menganggap cabaran berdepan COVID-19 sebahagian daripada cabaran hidup.

“Tinggal di asrama sangat bertuah kerana jadual ulang kaji sudah ditetapkan, jadi tidak ada masalah dengan masa pembelajaran.

“Kami lega, dia memberitahu sudah bersedia serta tidak sabar untuk menjawab peperiksaan SPM dan mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post Muhyiddin syukur vaksin COVID-19 selamat tiba di Malaysia
Next post Calon SPM perlu jaga kesihatan dan berusaha sehabis baik- Sulaiman
Ubah saiz-+=