Sorting by

×

PM Muhyiddin, Dr Noor Hisham terima suntikan vaksin COVID-19 Rabu ini.

Masa Membaca:2 Minit, 44 Saat

SEPANG 21 Feb. – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin COVID-19 pada Rabu ini, yang menandakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan digerakkan lebih awal daripada jadual asal.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata pihaknya membuat keputusan untuk memulakan fasa pertama program imunisasi itu lebih awal berbanding yang dijadualkan pada 26 Februari ini.

“Kami buat keputusan permulaan program imunisasi COVID-19 diawalkan pada Rabu, 24 Februari dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan akan menerima suntikan vaksin pertama di Klinik Kesihatan Putrajaya,” katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech, di sini hari ini.

KHAIRY ketika menunggu ketibaan vaksin di KLIA. Foto- Jabatan Penerangan Malaysia

Turut akan menerima suntikan bersama-sama Muhyiddin dan Dr Noor Hisham pada Rabu ini adalah petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan dan bukan kesihatan, katanya.

Khairy berkata kecekapan dan kesediaan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan penghantaran dan penerimaan vaksin berjalan lancar, membolehkan program imunisasi itu dimulakan lebih awal.

“Kita awalkan sebab pada asalnya kita beri beberapa hari untuk pengedaran vaksin ke pusat penyimpanan vaksin. NPRA juga kena buat penilaian ‘log list’ kepada setiap penghantaran vaksin itu, mereka perlu memeriksa penghantaran bagi memastikan tidak ada apa-apa kerosakan.

“Tetapi apabila kita melihat kepada kecekapan NPRA, Bahagian Farmasi KKM dan semua orang bersedia, kita dah periksa pusat penyimpanan vaksin semua bersedia, Perdana Menteri berkata mulakanlah lebih awal, tidak perlu tunggu sehingga Jumaat (26 Februari),” katanya.

Menurut Khairy, jumlah barisan hadapan yang telah mendaftar untuk suntikan vaksin setakat ini adalah 271,802 orang, yang terdiri daripada sektor kesihatan dan sektor-sektor lain.

Menurutnya, 57.3 peratus daripada jumlah itu adalah anggota perubatan dan kesihatan manakala 42.7 peratus pula anggota bukan kesihatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilaksanakan secara tiga fasa mulai bulan ini, dengan menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Proses pendaftaran sebagai penerima vaksin COVID-19 bagi orang ramai dijangka dibuka bermula 1 Mac ini dan dilaksanakan dengan konsep sukarela.

Menurut Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Malaysia memperoleh 66.7 juta dos vaksin COVID-19 melalui kemudahan COVAX dari lima pengeluar iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac), CanSinoBIO dan Sputnik V, sehingga bulan ini.

Mengenai kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang diterima hari ini, Khairy berkata, 312,390 dos vaksin itu akan dihantar ke 16 pusat penyimpanan vaksin di seluruh negara iaitu enam di Selangor, Johor (empat), Kuala Lumpur (tiga), Pulau Pinang (dua) dan Putrajaya (satu).

Vaksin berkenaan akan dihantar menggunakan kenderaan darat dari Singapura ke Johor pada 2 petang ini dan ke Pulau Pinang melalui pesawat pada 6 petang, katanya.

Beliau berkata penghantaran keseluruhan vaksin keluaran syarikat farmaseutikal Pfizer itu akan dilakukan secara berperingkat, dengan kumpulan kedua dijangka tiba Jumaat ini diikuti setiap dua minggu sehingga negara menerima keseluruhan tempahan yang dibuat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post Program vaksinasi COVID-19 tiada had tamat, sehingga capai sasaran- Khairy
Next post Padah ‘lumba haram’, empat pemandu ditahan
Ubah saiz-+=