PM Muhyiddin, Dr Noor Hisham terima suntikan vaksin COVID-19 Rabu ini.

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SEPANG, 21 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin COVID-19 pada Rabu ini, yang menandakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan digerakkan lebih awal daripada jadual asal.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata pihaknya membuat keputusan untuk memulakan fasa pertama program imunisasi itu lebih awal berbanding yang dijadualkan pada 26 Februari ini.

“Kami buat keputusan permulaan program imunisasi COVID-19 diawalkan pada Rabu, 24 Februari dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan akan menerima suntikan vaksin pertama di Klinik Kesihatan Putrajaya,” katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech, di sini hari ini.

Turut akan menerima suntikan bersama-sama Muhyiddin dan Dr Noor Hisham pada Rabu ini adalah petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan dan bukan kesihatan, katanya.

Khairy berkata kecekapan dan kesediaan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan penghantaran dan penerimaan vaksin berjalan lancar, membolehkan program imunisasi itu dimulakan lebih awal.

“Kita awalkan sebab pada asalnya kita beri beberapa hari untuk pengedaran vaksin ke pusat penyimpanan vaksin. NPRA juga kena buat penilaian ‘log list’ kepada setiap penghantaran vaksin itu, mereka perlu memeriksa penghantaran bagi memastikan tidak ada apa-apa kerosakan.

“Tetapi apabila kita melihat kepada kecekapan NPRA, Bahagian Farmasi KKM dan semua orang bersedia, kita dah periksa pusat penyimpanan vaksin semua bersedia, Perdana Menteri berkata mulakanlah lebih awal, tidak perlu tunggu sehingga Jumaat (26 Februari),” katanya.

Menurut Khairy, jumlah barisan hadapan yang telah mendaftar untuk suntikan vaksin setakat ini adalah 271,802 orang, yang terdiri daripada sektor kesihatan dan sektor-sektor lain.

Menurutnya, 57.3 peratus daripada jumlah itu adalah anggota perubatan dan kesihatan manakala 42.7 peratus pula anggota bukan kesihatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post Ibu bapa wajar galak, sokong minat anak-anak berniaga
Next post Kerajaan cadang pasport vaksin untuk pengesahan terima suntikan
Ubah saiz-+=